fbpx

USTAZ WADI ANNUAR

Hukum Berselawat ke atas Nabi ﷺ di antara solat tarawih

Hukum Berselawat ke atas Nabi ﷺ di antara solat tarawih

Perintah berselawat ke atas Baginda Nabi ﷺ datang daripada Allah ﷻ melalui surah al-Ahzab, ayat 56, firman Allah ﷻ :

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya : Sesungguhnya Allah ﷻ dan para malaikatnya berselawat ke atas Nabi ﷺ, jadi wahai orang yang beriman berselawatlah ke atasnya.

Perintah berselawat ini datang daripada Allah ﷻ secara mutlak tanpa dikaitkan dengan mana-mana waktu atau tempat, maka harus bagi seseorang untuk berselawat setiap kali selesai menunaikan solat tarawih atau pada bila-bila waktu asalkan tidak diniatkan amalan tersebut sebagai satu sunnah secara khusus setiap kali selesai menunaikan solat tarawih.

 

Perkara ini telah disebutkan oleh al-Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra :

وَسُئِلَ فَسَّحَ اللَّهُ فِي مُدَّتِهِ هَلْ تُسَنُّ الصَّلَاةُ عَلَيْهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – بَيْنَ تَسْلِيمَاتِ التَّرَاوِيحِ أَوْ هِيَ بِدْعَةٌ يُنْهَى عَنْهَا؟

Maksudnya : “Imam Ibnu Hajar Al-Haitami–semoga Allah ﷻ melapangkannya– ditanya apakah selawat ke atas Nabi ﷺ di antara solat tarawih disunnahkan atau bidaah yang dilarang?

 

ـ (فَأَجَابَ) بِقَوْلِهِ الصَّلَاةُ فِي هَذَا الْمَحَلِّ بِخُصُوصِهِ. لَمْ نَرَ شَيْئًا فِي السُّنَّةِ وَلَا فِي كَلَامِ أَصْحَابِنَا فَهِيَ بِدْعَةٌ يُنْهَى عَنْهَا مَنْ يَأْتِي بِهَا بِقَصْدِ كَوْنِهَا سُنَّةً فِي هَذَا الْمَحَلِّ بِخُصُوصِهِ دُونَ مَنْ يَأْتِي بِهَا لَا بِهَذَا الْقَصْدِ كَأَنْ يَقْصدَ أَنَّهَا فِي كُلِّ وَقْتٍ سُنَّةٌ مِنْ حَيْثُ الْعُمُومُ

Maksudnya : “Imam Ibnu Hajar menjawab : Selawat dalam keadaan ini dengan kekhususannya tidak ada dalilnya dalam sunnah, juga tidak pada perkataan sahabat kami (ulama), maka itu adalah bidaah yang dilarang bagi orang yang melaksanakannya dengan anggapan hal itu adalah sunnah secara khusus, dan tidak termasuk bidaah yang terlarang, orang yang melaksanakannya bukan kerana tujuan ini, seperti menganggap bahawa selawat itu disunnahkan di setiap waktu dari segi keumumannya.” (Al-Fatawa Al-Fiqhiyyat al-Kubra, 1/186)

 

Kemudian Imam Ibnu Hajar menerangkan lagi :

وَمِمَّا يَشْهَدُ لِلصَّلَاةِ عَلَيْهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – بَيْنَ تَسْلِيمَاتِ التَّرَاوِيحِ أَنَّهُ يُسَنُّ الدُّعَاءُ عَقِبَ السَّلَامِ مِنْ الصَّلَاةِ وَقَدْ تَقَرَّرَ أَنَّ الدَّاعِيَ يُسَنُّ لَهُ الصَّلَاةُ أَوَّلَ الدُّعَاءِ وَأَوْسَطَهُ وَآخِرَهُ وَهَذَا مِمَّا أَجْمَعَ عَلَيْهِ الْعُلَمَاءُ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ

Maksudnya : “Salah satu dalil yang mendukung membaca selawat di antara rakaat-rakaat solat tarawih, iaitu disunnahkan membaca doa setelah salam, dan sudah ditetapkan bahawa orang yang berdoa disunnahkan membaca selawat di awal, di tengah, dan di akhir doa”. (al-Fatawa al-Fiqhiyyat al-Kubra, 1/186).

 

Dr. Zainuddin bin Muhammad Al-Aydarus dalam kitabnya Ittihaf al-Anam bi Ahkam al-Siyam menjelaskan tentang hukum berselawat di antara solat-solat tarawih:

وَأَمَّا الصّلَاةُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ رَكَعَاتِ التَّرَاوِيْحِ الْمُعْتَادَّةُ فِي بَعْض الْبُلْدَانِ فَهِيَ مِنْ جُمْلَةِ الْأَذْكَارِ الْمُتَقَدِّمَةِ وَهِيَ حَسَنَةٌ وَمَطْلُوْبَةٌ وَمَرْغُوْبٌ فِيهَا عَلَى الدَّوَامِ، فَغَالِبًا مَا يُصَلِّي عَلَى النَّبِي ثُمَّ يُعَقِّبُها دُعَاءٌ، وَيَخْتَمُ بِهَا أَيْضًا مَعَ الثَّنَاءِ عَلَى اللهِ تَعَالَى، وَهَذَا ثَابِتٌ مُجْتَمَعٌ عَلَيْهِ، وَهُوَ مِنْ أَسْبَابِ إِجَابَةِ الدُّعَاءِ

Maksudnya : Adapun berselawat ke atas Nabi ﷺ di antara rakaat-rakaat tarawih yang sudah biasa dilakukan di beberapa negara, iaitu kalimat zikir yang telah lalu adalah baik, dianjurkan dan digalakkan secara berterusan, kebiasaannya selawat-selawat tersebut akan diikuti dengan doa, dan juga ditutupi dengan selawat serta pujian kepada Allah ﷻ, dan tradisi ini telah pon thabit dan disepakati, dan ia adalah sebab-sebab mustajabnya doa” (Ittihaf al-Anam bi Ahkam al-Siyam,197)

Imam al-Kasani menyebutkan bahawa sunat bagi seorang imam untuk duduk istirahah (duduk sebentar) setiap kali selesai dari dua solat sunat tarawih dengan bertasbih, berzikir, bertakbir, berselawat dan berdoa.

 

Kata al-Imam al-Kasani al-Hanafi :

أَنَّ ‌الْإِمَامَ ‌كُلَّمَا ‌صَلَّى ‌تَرْوِيحَةً ‌قَعَدَ ‌بَيْنَ التَّرْوِيحَتَيْنِ قَدْرَ تَرْوِيحَةٍ يُسَبِّحُ، وَيُهَلِّلُ وَيُكَبِّرُ، وَيُصَلِّي عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَيَدْعُو وَيَنْتَظِرُ أَيْضًا بَعْدَ الْخَامِسَةِ قَدْرَ تَرْوِيحَةٍ؛ لِأَنَّهُ مُتَوَارَثٌ مِنْ السَّلَفِ

Maksudnya : (Disunatkan) bagi seorang imam selepas menunaikan solat tarawih (sebanyak dua kali) untuk duduk diantaranya sekadar waktu yang diambil untuk menunaikan dua solat tarawih dan diisi dengan tasbih, zikir, takbir, selawat dan doa, begitu juga disunatkan untuk menunggu sebentar selepas menunaikan solat tarawih yang sekadar waktu yang diambil untuk solat dua solat tarawih kerana perkara tersebut adalah daripada amalan salaf. (Badai’u al-Sanai’u fi Tartib al-Syarai’, 1/290)

Salaf menyelangi solat tarawih dengan ibadah tertentu yang tidak pernah dilakukan oleh Baginda Nabi ﷺ

Pada hakikatnya menyelangi solat sunat tarawih dengan sesuatu ibadah seperti berselawat, berzikir dan sebagainya bukanlah satu perkara baharu, akan tetapi perbuatan ini telah dilakukan oleh para salaf al-saleh sebelum daripada kita, bahkan diriwayatkan bahawa salaf dari kalangan ahli Mekah menyelangi setiap empat rakaat tarawih mereka dengan ibadah tawaf mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali seperti yang disebutkan oleh Imam al-Sarakhsi di dalam al-Mabsuth (2/146).

Juga diriwayatkan bahawa Imam Ahmad Ibn Hanbal akan mengulang-ngulang lafaz zikir tertentu di antara solat tarawih yang beliau tunaikan seperti mana yang disebutkan oleh Ibn Qayyim di dalam Badai’u al-Fawaid daripada al-Fadhl katanya :

‌رأيتُ ‌أحمدَ ‌يقعدُ ‌بين ‌التَّراويحِ ‌ويُرَدِّدُ ‌هذا ‌الكلامَ: “لا إله إلَّا الله وحدَه، لا شريكَ له، أستغفرُ الله الذي لا إله إلَّا هو”

Aku telah melihat Ahmad Ibn Hanbal duduk dan mengulang-ulang zikir ini di antara solat-solat tarawih yang beliau tunaikan :
“لا إله إلَّا الله وحدَه، لا شريكَ له، أستغفرُ الله الذي لا إله إلَّا هو”

Kesimpulan
Hukum berselawat ke atas Nabi ﷺ di antara solat tarawih adalah diharuskan dengan syarat tidak mempercayainya sebagai satu amalan yang dikhususkan setiap kali selesai menunaikan solat tarawih. Ia hanya sebagai amalan umum yang digalakkan untuk dilakukan pada bila-bila masa, termasuklah selepas menunaikan solat sunat tarawih.

Perhatian : ‘Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan di ruangan akaun ini. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis sebarang komen yang berbentuk provokasi / penghinaan. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang tulis. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Pastikan komen yang baik-baik sahaja.’ – admin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

Scroll to Top