fbpx

USTAZ WADI ANNUAR

Syarat Beramal Dengan Hadis Daif

Ringkasan daripada tulisan Dr Ustaz Mohd Khafidz Soroni

Hukum beramal dengan hadis daif berdasarkan kata-kata Imam al-Nawawi (wafat 676H) dalam kitab al-Azkar: “Kata para ulama daripada kalangan muhaddithin, fuqaha dan lain-lain: Harus dan mustahab beramal dalam fadha’il dan al-targhib wa al-tarhib (galakan dan ancaman) dengan hadis daif, selama mana ia tidak palsu.”

Maksud ‘hadis daif boleh diamalkan’‎ itu adalah dalam skop fadha’il dan al-targhib wa al-tarhib, bukannya secara mutlak sehingga termasuk bab akidah dan hukum syarak.

Dalam beramal dengan hadis daif ini, ulama hadis muta’akhkhirin telah meletakkan tiga syarat. Sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz al-Sakhawi (wafat 902H) dalam kitab al-Qawl al-Badi’: “Aku telah mendengar daripada guru kami (al-Hafiz Ibnu Hajar) berulang kali memberitahu serta menuliskannya kepadaku dengan tangannya bahawa syarat-syarat beramal dengan hadis daif itu ada tiga:

1) Pertama, syarat yang disepakati oleh ulama, iaitu kedaifannya tidak berat. Maka, terkeluarlah hadis perawi yang bersendirian (meriwayatkan sesuatu hadis) daripada kalangan para pendusta, perawi yang dituduh berdusta dan juga perawi yang teruk kesilapannya.

2) Kedua, ia termasuk di bawah suatu dasar umum (sama ada al-Quran, hadis, ijmak dan sebagainya). Maka, terkeluarlah hadis yang direka-reka, di mana ia sama sekali tidak mempunyai dasar pada asalnya.

3) Ketiga, tidak mengiktikadkan ia sabit (daripada Nabi ﷺ) ketika beramal dengannya agar tidak menyandarkan kepada Nabi ﷺ apa yang tidak baginda katakan.

Huraian Syarat

Namun begitu, ketiga-tiga syarat ini sering disalah tafsirkan oleh sebahagian pihak yang kurang mendalami metode ulama hadis muta’akhkhirin.

a) Syarat pertama sering difahami bahawa ia termasuk semua hadis yang sangat daif, meskipun hadis tersebut mempunyai mutaba’at (riwayat sokongan), syawahid (hadis sokongan) atau qara’in (bukti sokongan). Sedangkan, hadis sangat daif yang mempunyai mutaba’at, syawahid atau qara’in sebenarnya masih terbuka kepada pertimbangan dan perbezaan pendapat.

b) Syarat kedua sering difahami bahawa hadis daif tersebut mesti merujuk kepada hadis yang sahih juga. Sedangkan, al-Hafiz Ibnu Hajar hanya menyebut ‘suatu usul umum’ yang bukan sekadar merujuk kepada hadis sahih semata-mata, bahkan merujuk juga kepada ayat al-Quran, ijmak, qiyas dan sebagainya. Syarat ini sebenarnya menggabungkan antara manhaj muhaddithin dan manhaj fuqaha. Ini kerana manhaj muhaddithin biasanya memberi fokus kepada mutaba’at dan syawahid yang dapat menyokong sesuatu hadis. Sedangkan, manhaj fuqaha pula mengambil kira qara’in yang boleh menyokong hadis berkenaan.

Selain ayat al-Quran, ijmak dan qiyas, qara’in juga termasuk ‘amal mutawarath (amalan yang diwarisi daripada Salaf), amalan ahli Madinah, qaul as-sahabi (kata-kata sahabat RA), ma talaqqatuha al-ummah bil-qabul (perkara yang sudah diterima umat Islam tanpa bantahan) dan lain-lain.

c) Syarat ketiga pula sering difahami bahawa hadis daif tersebut tidak boleh langsung dinisbahkan kepada Nabi ﷺ. Sedangkan maksud sebenarnya ialah tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi ﷺ secara jazam (pasti), namun boleh dinisbahkan kepada baginda ﷺ secara tamridh (tidak pasti), seperti diriwayatkan daripada Nabi ﷺ atau seumpamanya.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis dan Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

SELEPAS BACA, SILA KONGSI. SEMOGA BERMANFAAT.

Perhatian : ‘Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan di ruangan akaun ini. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis sebarang komen yang berbentuk provokasi / penghinaan. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang tulis. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Pastikan komen yang baik-baik sahaja.’ – admin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

Scroll to Top