fbpx

USTAZ WADI ANNUAR

Dua Amalan Pemberi Syafaat

DUA AMALAN YANG AKAN BERI SYAFAAT

Ibadat puasa dan membaca al-Quran akan menjadi penolong dan pemberi syafaat pada hari Kiamat kepada mereka yang melaksanakan ibadat puasa dan sentiasa mendampingi al-Quran untuk dibaca serta diamalkan segala panduannya semasa di dunia.

Dalam sebuah hadis, Sayidina Abdullah bin ‘Amr RA berkata, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، يَقُولُ الصِّيَامُ: أَيْ رَبِّ، مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتِ بِالنَّهَارِ، فَشَفِّعْنِي فِيهِ، وَيَقُولُ الْقُرْآنُ: مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِاللَّيْلِ، فَشَفِّعْنِي فِيهِ، قَالَ: فَيُشَفَّعَانِ

Maksudnya: “Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat buat hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: “Wahai Rab!, Aku telah menahannya daripada makan dan syahwat pada siang hari, maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya. Al-Quran pula berkata: Aku telah menahannya daripada tidur pada malam hari, maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya. Kemudian, keduanya memberi syafaat (kepada orang yang melakukannya).” [HR Ahmad dan al-Thabarani]

Berpuasa dan membaca al-Quran merupakan ibadah yang istimewa kerana di sana terdapat banyak kelebihan yang akan diperoleh bagi orang yang melakukannya. Beruntunglah mereka yang pada waktu siangnya berpuasa dan pada malam harinya dia membaca al-Quran kerana keduanya akan menjadi syafaat di hari Kiamat.

Di hari Kiamat kelak, kita perlu memohon syafaat kerana kita tidak terselamat daripada melakukan dosa dan maksiat kepada Allah. Sebagai seorang yang beriman, kita perlulah mengakui akan wujudnya syafaat di hari Kiamat yang akan diberikan kepada sesiapa sahaja daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang dikehendaki-Nya.

Oleh yang demikian, dengan melakukan amalan berpuasa dan membaca al-Quran akan menjadi syafaat kepada kita kelak selain daripada syafaat Baginda Nabi ﷺ. Rebutlah peluang keemasan dan kesempatan untuk melaksanakan ibadat puasa di bulan Ramadan ini dengan penuh keimanan dan keikhlasan serta membaca al-Quran sebanyak-banyaknya.

Akhir kata, mohonlah kepada Allah agar kita dikurniakan syafaat Rasulullah ﷺ dan diterima amalan kita sebagai syafaat pada hari Kiamat kelak serta berdoa supaya dapat istiqamah dalam menunaikan ketaatan serta perintah Allah ﷻ. Amin.

Perhatian : ‘Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan di ruangan akaun ini. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis sebarang komen yang berbentuk provokasi / penghinaan. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang tulis. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Pastikan komen yang baik-baik sahaja.’ – admin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

Scroll to Top