fbpx

USTAZ WADI ANNUAR

Khuluk Atau Tebus Talak Di Sisi Syarak

Menurut statistik hari ini jumlah perkahwinan di dalam negara semakin meningkat, seiring dengan itu kes penceraian juga semakin meningkat disebabkan beberapa faktor, antaranya ialah perselisihan faham yang mengakibatkan pergaduhan. Namun terdapat satu cara bagi membubarkan perkahwinan selain dari talak dan fasakh yang boleh digunakan oleh seorang isteri, yang disebut sebagai khuluk. Persoalannya apa itu khuluk?

Khuluk atau tebus talak bermaksud perceraian yang diusulkan oleh isteri kepada suami, dan isteri sanggup membayar tebusan kepada suaminya. Pensyariatan khuluk adalah untuk memenuhi kemahuan isteri bagi menebus dirinya supaya dibebaskan oleh suami dengan cara mengembalikan semula mas kahwin atau pampasan yang telah dipersetujui oleh kedua pihak.

Sabda Rasulullah ﷺ:

عن ابن عباس رضى الله عنهما: أن امرأة ثابت بن قيس جاءت الى رسول الله صلى الله عليه وسلم, فقالت : يا رسول الله, إني ما أعيب في خلق ولا دين, ولكن أكره الكفر في الإسلام, فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : أتردين عليه حديقته؟ قالت : نعم, فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : اقبل الحديقة, وطلقها تطليقة.

Maksudnya:
Diriwayatkan dari Ibn Abbas Sesungguhnya isteri Thabit bin Qais datang kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya tidak mengaibkan akhlak dan agama (suami saya Qais), tetapi saya tidak menyukainya dan tidak mahu hidup bersamanya menyebabkan saya melakukan maksiat (atau kerana kebencian yang bersangatan akan mendorongnya menzahirkan kekufuran supaya terfasakh perkahwinan),” maka Rasulullah bersabda, “mahukah kamu kembalikan kepadanya kebun (yang dijadikan maharmu),” kemudian Baginda bersabda (kepada suaminya), “terimalah kembali kebun itu, dan cerailah dia satu talak.”

Hukum khuluk

Hukumnya adalah harus. Adapun cara melaksanakan khuluk adalah apabila si isteri memberikan tebusan berbentuk harta kepada suami. Jika harta tebusan itu disebut semasa ketika lafaz khuluk, maka isteri wajib memberikan harta tebusan kepada suaminya. Akan tetapi jika tebusan tersebut tidak ditentukan dengan tepat, maka khuluk tetap sah dan suami tetap wajib mendapat mahar misil daripada isterinya.

Sekiranya suami menggunakan kalimah khuluk bertujuan talak tanpa menyebut sebarang harta tebusan dan tidak terlintas di hatinya untuk mendapatkan tebusan, maka itu hanya sekadar talak biasa yang menggunakan lafaz khuluk sebagai kinayah (kiasan). Maksudnya lafaz tersebut dianggap sebagai talak kinayah dan lafaz itu dijadikan talak raj’i.

 

Syarat-syarat khuluk
  1. Seorang isteri boleh meminta khuluk jika dia merasa takut tidak dapat menunaikan hukum Allah ﷻ.

  2. Khuluk dilakukan oleh suami tanpa tindakan yang menyakitkan isteri, jika suami menyakitkan isteri maka suami tidak layak untuk menebus apa-apa dari isteri. Sekiranya suami gila atau belum dewasa maka yang akan menceraikan adalah wali.

  3. Majoriti ulama berkata harta tebusan atau ganti rugi adalah syarat yang tidak boleh ditinggalkan untuk sahnya khuluk. Harta tebusan tersebut tidak melebihi mahar yang diberikan suami semasa akad perkahwinan dengan kesepakatan kedua-dua pihak.

  4. Sighah atau ucapan yang disampaikan oleh suami yang dalam ungkapan tersebut dinyatakan ganti rugi atau harta tebusan. Majoriti ulama berpendapat bahawa sighah merupakan satu rukun yang tidak boleh ditinggalkan.
    Jenis ucapan khuluk:
        A) Menggunakan lafaz yang jelas: Saya ceraikan kamu dengan bayaran RM 10000.00
        B) Menggunakan lafaz kinayah:Pergilah ke rumah ibu bapa kamu dengan bayaran RM 10000.00

  5. Timbul perasaan benci daripada isteri, khuluk hanya dibenarkan apabila isteri membenci suaminya atas sebab-sebab tertentu dan menuntut perceraian. Sekiranya perasaan benci lahir daripada suami, maka suami tidak boleh menebus talak daripada isterinya, sebaliknya boleh terus melafazkan talak sekiranya bimbang berlaku pergaduhan yang boleh mendatangkan keburukan.

  6. Berdasarkan aturan berikut
  • Wanita yang dikhulukkan oleh suaminya mestilah menjalani tempoh idah selama satu kali haid.
  • Suami yang menceraikan isteri dengan cara khuluk, tidak boleh merujuk kembali dengan isterinya semasa tempoh idah dan suami boleh merujuk dengan isterinya dengan cara akad yang baru.
  • Isteri mampu bertindak atas harta tebusan kerana keperluan khuluk dan menyerahkan harta.
  • Isteri mestilah baligh, berakal, boleh menguruskan harta. Jika tidak memenuhi syarat ini maka wali perlu menggantikan khuluknya sedangkan harta tebusan dibebankan kepada harta sendiri kecuali keinginan dari pihak wali.

 

Pembantu Pegawai Syariah (UWA) // Muhammad Saffuan

Perhatian : ‘Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan di ruangan akaun ini. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis sebarang komen yang berbentuk provokasi / penghinaan. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang tulis. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Pastikan komen yang baik-baik sahaja.’ – admin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

Scroll to Top