fbpx

USTAZ WADI ANNUAR

Sunat Melafazkan Usolli Ketika Hendak Solat

Niat ialah mengingati tujuan sesuatu perbuatan ketika mula melakukannya. Niat dalam hati merupakan syarat sahnya suatu amalan ibadah seperti solat. Ini adalah kerana niat merupakan satu kewajipan dalam setiap ibadah, sebagaimana sabda Nabi ﷺ:

“إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى…”

Ertinya: Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat dan sesungguhnya bagi seseorang itu adalah apa yang dia niatkan.

Adapun melafazkan niat (menyebut usolli) pula seperti berkata pada lisan oleh orang yang mahu solat “usolli fardhas subhi rak’ataini..” itu bukannya rukun solat. Siapa yang tidak melafazkan niat maka solatnya sah.

Hukum melafazkan niat adalah sunat kerana hal itu adalah sebahagian daripada usaha menolong hati agar dapat menghadirkan niat ketika melaksanakan ibadah.

Di sisi mazhab Syafie, lafaz niat bukan syarat sah ibadat, iaitu amalan ini bukan suatu yang diwajibkan. Namun begitu, ia termasuk dalam perbuatan yang dianjurkan oleh syarak (mustahab). [Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, Imam al-Nawawi]

Berkata Imam al-Ramli, disunatkan untuk mengucapkan atau melafazkan niat solat sebelum mengangkat takbir, supaya lidah dapat menolong hati, untuk menjauhkan was-was dan tidak terlalu jauh dari ulama yang memfatwakan kewajibannya.” [Rujuk Nihayah al-Muhtaj, Imam al-Ramli]

Selain itu, Imam Nawawi turut menjelaskan bahawa amalan menyatakan amalan melafazkan niat adalah lebih afdal berbanding tidak dilafazkan, kata beliau:

“Niat yang wajib ketika berwuduk ialah niat di dalam hati. Tidak wajib melafazkan niat dengan lisan dan tidak sah jika hanya melafazkan niat sahaja. Oleh itu, apabila digabungkan niat dalam hati dengan lafaznya secara lisan maka itu lebih kuat dan afdal. Hal ini sepertimana yang disepakati ulama mazhab Syafie.” [Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, Imam al-Nawawi]

Ringkasan Pendapat 4 Mazhab Tentang Usolli

1- Mazhab Syafie dan Hanbali: Sunat membaca usolli sebelum takbir kerana membantu bagi hati mengingatkan kepada niat.

2- Mazhab Maliki: Sunat membaca usolli kepada orang yang was-was sahaja.

3- Mazhab Hanafi: Tidak diperintahkan membaca usolli tetapi elok jika untuk menolak was-was. [Rujuk al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syeikh Abd al-Rahman al-Jaziri].

Kesimpulannya, melafazkan niat dengan lisan ketika hendak solat bukanlah termasuk dalam rukun dan syarat sah solat. Ia sebagai satu galakan yang baik untuk menghadirkan keazaman solat, menghilangkan rasa was-was dan memudahkan kehadiran niat dalam hati. Jika melakukannya tidak menjadi masalah dan bukan bidaah yang tercela. Selamat beramal.

Rujukan:
– Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
– Ustaz Azhar Idrus

KONGSIKAN POST INI, SEMOGA BERMANFAAT.

Perhatian : ‘Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan di ruangan akaun ini. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis sebarang komen yang berbentuk provokasi / penghinaan. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang tulis. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Pastikan komen yang baik-baik sahaja.’ – admin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

Scroll to Top