fbpx

USTAZ WADI ANNUAR

Amalan yang digalakkan ketika Ramadan

7 Amalan Yang Digalakkan Ketika Bulan Ramadan

 

Ramadan merupakan bulan yang sangat istimewa bagi setiap umat Islam kerana memiliki banyak keutamaan dan kelebihan yang tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain. Oleh itu, terdapat beberapa amalan yang digalakkan untuk dilakukan sepanjang bulan Ramadan, antaranya:

1. Bersahur

 

Sahur merupakan amalan sunat yang memiliki keberkatan. Sebagaimana yang diriwayatkan daripada Sayidina Anas r.a, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً
Maksudnya: “Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya sahur itu ada keberkatan” [HR Bukhari & Muslim]

2. Menyegerakan Berbuka Puasa

 

Diriwayatkan daripada Sayidina Abu Hurairah r.a (dalam Hadis Qudsi), beliau berkata, Rasulullah ﷺ bersabda:

‏ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَحَبُّ عِبَادِي إِلَىَّ أَعْجَلُهُمْ فِطْرًا ‏
Maksudnya: “Aku (Allah) sangat mengasihi hamba-hambaKu yang menyegerakan berbuka puasa.” [HR Tirmizi]

Oleh itu, Allah mengasihi hamba-hambaNya yang menyegerakan berbuka puasa berbanding mereka yang melewatkan berbuka puasa.

3. Tadarus al-Quran

 

Tadarus al-Quran kebiasaannya dilaksanakan dalam kumpulan bagi memperdengarkan bacaan masing-masing, menyemak serta memperbetul bacaan al-Quran. Hadis berkaitan tadarus al-Quran ini diriwayatkan oleh Sayidina Ibnu Abbas r.a:

وَكَانَ جِبْرِيلُ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ

Maksudnya: Adalah Jibril a.s bertemu dengan Nabi ﷺ pada setiap malam pada bulan Ramadan untuk bertadarus Al-Quran. [HR Bukhari]

4. Solat Tarawih

 

Solat tarawih termasuk sebagai amalan sunat yang dituntut untuk dilaksanakan kerana dianggap membangunkan malam-malam pada malam bulan Ramadan. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Sayidina Abu Hurairah r.a:

 

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala, maka akan diampuni dosanya yang lalu”. [HR Bukhari]

5. Bersedekah

 

Amalan sedekah sangat digalakkan untuk dilakukan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan Sebagaimana yang diriwayatkan daripada Sayidina Ibnu Abbas r.a:

سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الصَّوْمِ أَفْضَلُ بَعْدَ رَمَضَانَ؟ فَقَالَ: شَعْبَانُ لِتَعْظِيمِ رَمَضَانَ. قِيلَ: فَأَيُّ الصَّدَقَةِ أَفْضَلُ؟ قَالَ: صَدَقَةٌ فِي رَمَضَانَ‏
Maksudnya: Ditanyakan Nabi ﷺ puasa apakah yang terbaik selepas Ramadan? Jawab Nabi ﷺ: Puasa di bulan Syaaban untuk mengagungkan Ramadan. Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdal.               Jawab Nabi ﷺ: Sedekah di bulan Ramadhan. [HR Tirmizi]

6. Menjamu Makan Orang yang Berbuka Puasa

 

Umat Islam dituntut untuk berkongsi rezeki bersama insan lain terutamanya pada bulan Ramadan. Diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah r.a:

‏ مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا‏
Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka dia mendapat pahala seumpamanya tanpa kurang sedikitpun daripada pahala orang yang berpuasa tersebut.” [HR Tirmizi]

7. Berdoa

 

Umat Islam dituntut untuk membanyakkan berdoa di bulan Ramadan. Ini kerana, doa orang yang berpuasa adalah mustajab di sisi Allah. Sebagaimana yang diriwayatkan daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda

ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَالْإِمَامُ الْعَادِلُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

Maksudnya: “Ada tiga golongan yang doa mereka tidak ditolak iaitu orang yang berpuasa hinggalah dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi.” [HR Tirmizi]

Kesimpulan
Marilah kita bersama-sama menguatkan azam untuk berusaha sedaya mungkin untuk memperoleh kelebihan dan kebaikan yang ditawarkan di bulan Ramadan ini melalui pelbagai bentuk amal kebaikan. Semoga Ramadan kali ini dapat menjadikan kita insan yang dikasihi oleh Allah ﷺ.

Perhatian : ‘Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan di ruangan akaun ini. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis sebarang komen yang berbentuk provokasi / penghinaan. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang tulis. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Pastikan komen yang baik-baik sahaja.’ – admin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

Scroll to Top