fbpx

USTAZ WADI ANNUAR

Penderaan Terhadap Kanak-Kanak

Kejadian ini bukan baru dalam masyarakat kita. Sudah terlalu banyak kes penderaan terhadap kanak-kanak didedahkan oleh media sehingga ada yang menyebabkan kematian. Ia membawa kepada penggubalan undang-undang lebih ketat bagi mengelakkan isu yang sama berulang. Tetapi malangnya, isu ini seringkali terjadi dan muncul di dalam berita atau media sosial.

                   Hampir setiap tahun ada kes penderaan kanak-kanak. Dari segi undang-undang, penderaan kanak-kanak bermaksud dera atau satu perbuatan zalim dilakukan ke atas kanak-kanak iaitu mereka yang berusia kurang 18 tahun. Penderaan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja seperti ibu bapa kandung atau tiri, pengasuh, saudara mara dan juga jiran tetangga.

 Penderaan kanak-kanak boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Antaranya:

  1. Penderaan fizikal
  2. Penderaan emosi mental
  3. Penderaan seksual

                    Penderaan fizikal adalah satu perbuatan zalim secara fizikal yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan menyakiti mangsa. Ia dilakukan ibu bapa, penjaga atau sesiapa sahaja yang bertanggungjawab melindungi kanak-kanak berkenaan. Perbuatan mendera boleh menyebabkan kecederaan ataupun kematian.

Ia dilakukan menggunakan cara atau alat tertentu untuk mencederakan kanak-kanak terbabit. Antara alat yang digunakan untuk mendera selain memukul menggunakan tangan ialah rotan, hos paip dan sebagainya.

Dalam pada itu, penderaan emosi adalah satu kaedah penyeksaan terhadap kanak-kanak sehingga menyebabkan gangguan psikologi dari segi mental dan emosi. Penderaan ini termasuk tidak memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada kanak-kanak. Mereka ini dimarahi, diejek, ditengking dan pergaulan disekat menyebabkan kanak-kanak ini sedih, marah dan murung. Kanak-kanak sebegini dilabel sebagai anak yang tidak boleh diharap dan menyusahkan keluarga.

 

                      Penderaan seksual berlaku apabila kanak-kanak dieksploitasikan untuk kepuasan seks oleh orang dewasa. Penderaan seksual membabitkan kanak-kanak adalah dengan cara mencabul kehormatannya, dirogol dan yang berumur sikit, dipaksa melacur. Penderaan seksual yang membabitkan kanak-kanak perempuan semakin membimbangkan manakala bilangan kanak-kanak lelaki yang didera secara seksual juga tidak kurang seriusnya.

Ketahuilah anak adalah amanah Allah yang wajib kita sayang sedangkan binatang juga mengasihi anak-anaknya dengan rahmat yang Allah campakkan pada diri mereka, inikan manusia yang sepatutnya mempunyai sifat berperikemanusiaan yang sudah hampir malap dalam kehidupan.

Dengan kurniaan anak sebagai anugerah daripada Allah, amat wajar kita menyayangi serta mengasihinya. Nasihat Baginda Nabi Muhammad ﷺ:

مَن لَا يَرْحَمْ لَا يُرْحَمْ

Maksudnya: “Siapa yang tidak menyayangi nescaya tidak disayangi.” (HR Bukhari dan Muslim)

Pembantu Pegawai Syariah (UWA) // Hayana

Perhatian : ‘Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan di ruangan akaun ini. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis sebarang komen yang berbentuk provokasi / penghinaan. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang tulis. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Pastikan komen yang baik-baik sahaja.’ – admin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

Scroll to Top