fbpx

USTAZ WADI ANNUAR

Muslim Care, PKU sumbang RM1 juta untuk Palestin

SELAYANG:  Pertubuhan Khidmat Ummah (PKU) menjalin kerjasama dengan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) dalam menyalurkan bantuan ke Palestin.

Timbalan Presiden Muslim Care, Mohd Johari Ismail berkata, setakat ini pihaknya berjaya mengumpulkan hampir RM3 juta hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masjid, surau, sekolah serta agensi kerajaan dan swasta.

“Antara pihak yang memberi sumbangan terbesar kepada adalah daripada PKU yang dipengerusikan Ustaz Wadi Annuar Ayub.

“Sebanyak RM1 juta sumbangan oleh Ustaz Wadi Annuar melalui PKU untuk membantu penduduk Palestin di Gaza dan kita tidak mengambil sebarang caj pengurusan untuk proses sumbangan ini,” katanya ketika sidang akhbar Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Kecemasan Palestin di sini hari ini.

Katanya, bukanlah menjadi kebanggaan kepada Muslim Care dengan wang jutaan ringgit yang disumbangkan oleh pelbagai pihak, sebaliknya ia adalah satu amanah besar yang perlu ditunaikan.

Beliau berkata, terdapat tiga saluran sumbangan Muslim Care kepada penduduk Gaza.

 

“Cara pertama adalah menyalurkan wang terus Muslim Care Palestin yang dipengerusikan oleh Ahmad Abu Ayesh Al-Najar yang juga salah seorang penduduk tempatan di Khan Younis, Gaza.

“Kedua, adalah melalui gabungan kerjasama dengan NGO luar negara ‘Miles of Smiles’ dengan membelanjakan kira-kira RM500,000 untuk membeli ubat-ubatan dan makanan.

“Yang ketiga, mengadakan kerjasama bersama 45 NGO Malaysia di bawah Op Ihsan yang dikendalikan oleh Kementerian Luar Negeri,” katanya.

Katanya, ketika ini penduduk di Gaza memerlukan sumbangan bantuan makanan yang mana mereka telah memasuki fasa kebuluran.

Dalam pada itu Ustaz Wadi Annuar berkata, beliau memilih Muslim Care sebagai rakan strategik untuk menyalurkan bantuan ke Gaza adalah disebabkan prestasi NGO itu yang membina masjid dan sekolah di luar negara selain kos operasi yang rendah.

Katanya, jumlah RM1 juta yang disumbangkan adalah hasil sumbangan orang ramai yang berjaya dikumpul bermula 11 hingga 31 Oktober lalu.

Menurutnya, selepas berjaya mengumpul dana tersebut dalam tempoh 20 hari, beliau sedang menambah lagi sasaran RM 2 juta bagi pembinaan masjid.

“Kutipan RM2 juta ini adalah untuk pembinaan semula Masjid Al Amin yang pernah dibina oleh Muslim Care di Palestin pada 2013 namun dibom oleh Israel pada 2020.

“Sasaran RM2 juta ini telah bermula 1 November dan sekarang ini mencecah RM 200,000. Kita harap orang ramai boleh salurkan sumbangan untuk pembinaan dan pemulihan masjid-masjid yang telah musnah,” katanya. – UTUSAN

credit: UTUSAN

Perhatian : ‘Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan di ruangan akaun ini. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis sebarang komen yang berbentuk provokasi / penghinaan. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang tulis. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Pastikan komen yang baik-baik sahaja.’ – admin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

Scroll to Top