fbpx

USTAZ WADI ANNUAR

Budaya Prank Menjadi Kebiasaan Anak Muda

Dunia menyaksikan pelbagai trend yang semakin menjadi-jadi dalam kalangan anak muda antaranya budaya prank. Prank merupakan perbuatan mengusik seseorang dengan perkataan dan perbuatan sebagai bahan jenaka atau menguji seseorang. Adakalanya, gurauan atau prank tersebut agak melampau sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi seseorang sehingga seseorang yang terkena prank akan merasa malu, kecewa dan merasa tertipu.

Budaya ini semakin menjadi-jadi terutamanya dalam kalangan pembuat video di YouTube dan media sosial yang lain. Kebiasaannya video-video prank sebegini akan mendapat sambutan dan tontonan yang ramai sehingga hasil daripada tontonan tersebut mereka memperoleh pengikut baharu dan juga boleh dibayar oleh YouTube atas pencapaian dan tontonan yang tinggi.

Islam tidak melarang melakukan gurauan selagi mana gurauan tersebut tidak melampau dan boleh diterima oleh orang yang diajak bergurau. Dalam satu kisah Rasulullah ﷺ pernah bergurau dengan seorang wanita tua:

أتت عجوز‌إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقالت: يا رسول الله أدع الله أن يدخلني الجنة. فقال يا أم فلان! انّ الجنة لا تدخلها عجوز. قال: فولت تبكي فقال: أخبروها أنها لا تدخلها وهي عجوز إن الله تعالى يقول: إِنَّا أَنْشَأْناهُنَّ إِنْشاءً فَجَعَلْناهُنَّ أَبْكاراً عُرُباً أَتْراباً.

“Seorang wanita tua datang kepada Rasulullah ﷺ maka dia berkata: “Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar Dia memasukkanku ke dalam syurga. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda, wahai Ummu Fulan! Sesungguhnya syurga tidak akan dimasuki oleh orang tua. Lalu wanita tua itu beredar dalam keadaan menangis. Baginda bersabda: Khabarkan kepadanya bahawa dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan tua kerana Allah SWT berfirman: Sesungguhnya kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung dan kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya”

(Surah al-Waqiah: 35- 37).

(Syamail Muhammadiyyah h.144)

Oleh itu, dapat difahami bahawa bergurau atau melawak dibolehkan selagimana tidak melampau seperti menipu, menakut-nakutkan orang, menjatuhkan maruah dan seumpamanya.

Melampau Dalam Gurauan:

Melampau dalam gurauan dapat dilihat melalui sabda Rasulullah ﷺ:

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي لَيْلَى، قَالَ حَدَّثَنَا أَصْحَابُ، مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُمْ كَانُوا يَسِيرُونَ مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَنَامَ رَجُلٌ مِنْهُمْ فَانْطَلَقَ بَعْضُهُمْ إِلَى حَبْلٍ مَعَهُ فَأَخَذَهُ فَفَزِعَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ لاَ يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا.

“Daripada Abdurrahaman bin Abu Laila, beliau berkata, para sahabat Nabi Muhammad ﷺ bermusafir bersama baginda. Salah seorang dari mereka tertidur lalu ada sebahagian sahabat yang mengambil dan menarik tali yang ada bersamanya sehingga orang yang tidur itu terkejut, maka Rasulullah ﷺ bersabda, “Tidak halal bagi seorang muslim membuat saudara muslimnya terkejut.”

Ibn Raslan menerangkan bahawa perbuatan memeranjatkan orang tersebut adalah salah satu bentuk kezaliman pada seseorang.

وفي معنى هذا النهي كل من روع مسلمًا أو خوفه، كأن يكون في ظلمة أو غفلة.
“Dan pada makna larangan ini setiap perbuatan membuat orang Islam terkejut atau takut adalah suatu kezaliman dan kelalaian.” (Syarah Sunan Abi Daud)

Selain itu, menimbulkan ketakutan kepada orang lain dengan sengaja tanpa ada alasan yang munasabah atau gurauan adalah tidak dibenarkan. Kebiasaanya perbuatan ini bertujuan untuk mengambil kesempatan terhadap ketakutan dan kelemahan orang lain seperti mengambil barang orang lain bagi tujuan bergurau dengan pemilik barang tersebut. Maka pemilik barang akan merasa risau dan sedih apabila barangnya hilang. Rasulullah ﷺ bersabda:

لاَ يَأْخُذَنَّ أَحَدُكُمْ مَتَاعَ أَخِيهِ لاَعِبًا وَلاَ جَادًّا.

“Tidak boleh sama sekali kamu mengambil barang salah seorang daripada saudara kamu kerana gurauan atau serius.”

(Riwayat Abu Daud)

لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا.

“Tidak halal bagi seorang muslim menakut-nakuti muslim yang lain.”

(Riwayat Abu Daud)

Kesimpulan:

Budaya prank terkadang boleh merosakkan minda dan jiwa-jiwa anak muda jika tidak dipandu dengan syariat. Seharusnya pihak industri tidak mengambil kesempatan dengan menjadikan orang ramai sebagai bahan gurauan dengan tujuan meraih keuntungan semata- mata. Banyak lagi cara yang boleh digunakan untuk menaikkan peratus sesebuah rancangan.Walaupun gurauan dalam islam dibolehkan, tetapi islam tetap membataskan selagi tidak ada unsur penipuan, menakutkan dan melibatkan nyawa seseorang.

Rujukan:

– Mufti Wilayah Persekutuan
– Ustaz Wadi Annuar
– Habib Muhammad Al-Habsyi

 

Pembantu Pegawai Syariah (UWA) // Fatimah

Perhatian : ‘Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan di ruangan akaun ini. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis sebarang komen yang berbentuk provokasi / penghinaan. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang tulis. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Pastikan komen yang baik-baik sahaja.’ – admin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

Scroll to Top