fbpx

USTAZ WADI ANNUAR

Pengorbanan Keluarga Nabi Ibrahim AS Lambang Keimanan

Kisah pengorbanan keluarga Nabi Allah, Ibrahim AS menjadi lambang keimanan dan kepatuhan yang cukup tinggi dalam menjunjung perintah Allah ﷻ. Nabi Ibrahim AS telah menunjukkan bahawa baginda sangat mengutamakan perintah Allah ﷻ sehingga sanggup untuk menyembelih anak kesayangannya.

Sebelum kelahiran Nabi Ismail AS, Nabi Ibrahim AS pernah berkata: “Semua yang menjadi korbanku itu belum menjadi apa-apa bagiku. Demi Allah, jika aku mempunyai anak lelaki, tentu aku akan persembahkan juga di jalan Allah dan aku korbankan dia untuk Allah ﷻ”.

Setelah kelahiran Nabi Ismail AS, Nabi Ibrahim AS terlupa akan nazarnya itu. Kemudian Allah ﷻ telah menuntut nazarnya itu untuk menguji kesabaran dan ketaatannya kepada Allah. Tuntutan nazar tersebut didatangkan kepada Nabi Ibrahim AS dalam bentuk mimpi sebanyak tiga kali sebelum Nabi Ibrahim AS menyedari bahawa mimpi tersebut merupakan perintah daripada Allah ﷻ.

Pada malam yang pertama iaitu pada Hari Tarwiyah, Nabi Ibrahim AS telah bermimpi baginda menyembelih anaknya. Maka, pada Hari Tarwiyah iaitu pada 8 Zulhijjah disebut juga hari merenung dan berfikir akan keraguan tentang mimpinya sama ada datang daripada Allah ﷻ atau hanya mainan syaitan. Nabi Ibrahim AS telah bermimpi pada kali kedua iaitu pada 9 Zulhijjah dan dinamakan Hari Arafah yang bermaksud baginda meyakini bahawa mimpi tersebut merupakan ilham daripada Allah ﷻ. Pada hari yang berikutnya, Nabi Ibrahim AS masih mengalami mimpi yang sama. Maka Nabi Ibrahim AS telah mengambil keputusan untuk melaksanakan mimpi tersebut iaitu dengan menyembelih anaknya. Pada tanggal 10 Zulhijjah dinamakan sebagai Nahru yang bermaksud sembelih. Ini kerana, Nabi Ibrahim AS yakin bahawa Allah ﷻ memerintahkan baginda untuk melakukan penyembelihan. Penceritaan mimpi Nabi Ibrahim AS ini juga turut disebut di dalam al-Quran. Firman Allah dalam Surah al-Saffat ayat 102:

Maksudnya: “Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: ‘Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?’. Anaknya menjawab: ‘Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar’.”

Apabila Nabi Ibrahim AS sudah mendapat kepastian bahawa mimpi yang dialami itu merupakan wahyu daripada Allah ﷻ, maka baginda terus menyampaikan mimpi tersebut kepada anaknya, Nabi Ismail AS. Setelah itu, Nabi Ismail menyatakan bahawa dia bersedia untuk disembelih sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah ﷻ kerana ketaatannya kepada Allah ﷻ dan ayahnya, Nabi Ibrahim AS.

Kisah sembelihan ini juga telah berlaku di Makkah dan ketika telah tiba waktu penyembelihan tersebut, Nabi Ismail AS sempat berpesan agar mengikatnya dengan tali dan memalingkan wajahnya ke tanah supaya tidak timbul rasa kasihan Nabi Ibrahim AS kepadanya ketika melaksanakan penyembelihan itu. Selain itu, Nabi Ismail turut berpesan agar menajamkan pisau yang akan digunakan supaya proses tersebut berjalan dengan mudah dan cepat. Setelah kedua-duanya berserah diri kepada Allah ﷻ, Nabi Ibrahim AS mula menjalankan perintah Allah ﷻ itu. Firman Allah ﷻ dalam Surah al-Saffat ayat 103:

Maksudnya: “Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami)”.

Kemudian, apabila Nabi Ibrahim AS telah membaringkan Nabi Ismail dengan wajahnya menghadap tanah dan ingin menyembelih anaknya itu, Allah berfirman dalam Surah al-Saffat ayat 104-105 yang bermaksud: “Serta Kami menyerunya: ‘Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu’. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.”

Ayat ini menceritakan bahawa Nabi Ibrahim AS telah menunaikan suruhan Allah ﷻ yang disampaikan melalui mimpi dengan menzahirkan tindakan membaringkan anaknya untuk disembelih. Namun begitu, Allah ﷻ telah menggantikan Nabi Ismail AS dengan seekor kibas (sejenis kambing) yang sempurna tanpa cacat sedikitpun. Sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Saffat ayat 107 yang bermaksud: “Dan kami tebus anak itu dengan seekor haiwan sembelihan yang besar”.

Sufyan al-Thauri menceritakan daripada Jabir al-Ju’fi daripada Abu Thufail daripada Ali r.a bahawa binatang tersebut merupakan seekor kibas jantan yang berwarna putih, mempunyai mata yang bagus dan bertanduk besar. Allah menggantikan Nabi Ismail AS dengan seekor kibas yang berasal dari syurga. Kibas yang ini merupakan haiwan sembelihan yang dikorbankan oleh Habil iaitu anak Nabi Adam AS yang mana korbannya itu diterima oleh Allah ﷻ. Kemudian kibas tersebut diangkat ke syurga diturunkan semula ke bumi bagi menggantikan Nabi Ismail AS yang akan disembelih oleh Nabi Ibrahim AS atas perintah Allah ﷻ.

Pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa ini adalah setiap mukmin yang mengaku beriman pasti akan diuji oleh Allah ﷻ. Para Nabi dan Rasul juga tidak terlepas daripada menerima ujian Allah ﷻ bahkan ujian yang diberikan kepada mereka lebih hebat daripada manusia biasa. Selain itu, mendahulukan perintah Allah ﷻ merupakan sikap seorang mukmin kerana rasa cinta dan kasih kepada-Nya mengatasi kecintaan terhadap dunia dan keluarga. Justeru, semoga kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dalam mentaati perintah Allah ﷻ ini dapat menjadi iktibar kepada kita semua.

Perhatian : ‘Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan di ruangan akaun ini. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis sebarang komen yang berbentuk provokasi / penghinaan. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang tulis. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Pastikan komen yang baik-baik sahaja.’ – admin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

Scroll to Top