fbpx

USTAZ WADI ANNUAR

Ziarah Kubur Amalan Sunnah

Hukum ziarah kubur adalah sunat dan sangat dianjurkan oleh syarak. Rasulullah ﷺ sendiri melakukan ziarah kubur ketika hayatnya dan dan demikian juga para sahabat r.a, bahkan Rasulullah ﷺ menyuruh pula umatnya supaya menziarahi kubur.

FAEDAH ZIARAH KUBUR

Antara faedahnya bagi orang yang ziarah itu ialah ianya dapat mengingatkannya tentang kematian dan hari akhirat.

Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib r.a Rasulullah ﷺ bersabda :

إِنِّي كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا فَإِنَّهَا تُذَكِّرُكُمِ الْآخِرَةَ

Ertinya : “Sungguhnya dulu aku melarang kamu sekalian daripada ziarah akan kubur. Maka sekarang ziarahlah kamu sekalian akan kubur. Maka sesungguhnya ziarah kubur itu boleh mengingatkan kamu sekalian akan akhirat.“ (HR Imam Ahmad)

Dan pada riwayat yang lain Rasulullah ﷺ bersabda :

فَزُورُوَا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكّركُمُ الـمَوتَ

Ertinya : “Maka ziarahlah kamu sekalian akan kubur maka sesungguhnya ia dapat mengingatkan akan kamu sekalian kepada kematian.” (Hadis Ibnu Hibban)

WAKTU ZIARAH KUBUR

Tidak ada ketetapan waktu untuk menziarah tanah perkuburan pada bulan, minggu atau hari yang tertentu. Seseorang itu harus melakukan ziarah bila sahaja dia berkelapangan pada mana-mana bulan dan pada mana-mana hari yang dia suka.

Sungguh pun ada sebahagian pendapat yang mengatakan afdal ziarah pada masa yang tertentu tetapi mereka tidak melarang ziarah pada hari-hari tertentu.

Sesiapa yang menziarahi kubur pada hari apa yang dia suka, maka sesungguhnya dia telah menunaikan satu perintah Rasulullah ﷺ dan dapat baginya kelebihan ziarah kubur.

HUKUM ZIARAH KUBUR HARI RAYA

Tidak ada perintah daripada agama menyuruh ziarah kubur pada hari-hari yang tertentu seperti pada hari raya atau hari-hari kebesaran yang lain maka kembalilah hukum ziarah kubur pada hari raya ke dalam perintah ziarah kubur yang umum iaitu sunat ziarah kubur pada bila masa sahaja yang dikehendaki sama ada pada hari raya atau lainnya.

Diriwayatkan daripada Atha’ bin Saib, dia berkata:

صَلَّيْتُ الْفَجْرَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ فِي يَوْمِ الْفِطْرِ فَإِذَا أَبُوْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ وَعَبْدُ اللهِ بْنُ مَعْقِلٍ فَلَمَّا قَضَيْنَا الصَّلَاةَ خَرَجَا وَخَرَجْتُ مَعَهُمَا إِلَى الْجَبَانَةِ.

Ertinya : “Aku pernah sembahyang subuh pada masjid ini pada hari raya Aidilfitri. Maka bertemu aku dengan Abu Abdul Rahman dan Abdullah bin Ma’qil. Maka selepas kami menunaikan sembahyang keduanya keluar dan aku pun keluar bersama keduanya pergi ke tanah perkuburan al-Jabanah.” (Musonnaf Ibnu Abi Syaibah)

Tersebut pada Kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyah :

تُسْتَحَبُّ فِي الْعِيدِ زِيَارَةُ الْقُبُورِ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَهْلِهَا وَالدُّعَاءُ لَهُمْ، لِحَدِيثِ: نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا

Ertinya : “Disunatkan ziarah kubur pada hari raya dan memberi salam ke atas penghuninya dan berdoa pagi mereka kerana hadis: Dulu aku telah melarang kamu sekalian daripada ziarah kubur, maka sekarang kamu sekalian ziarahlah kubur.” (Juzuk 31 m. 118)

Tersebut pada himpunan fatwa Universiti al-Azhar :

وَمِنْ هُنَا نَعْلَمُ أَنَّ زِيَارَةَ النَّاسِ لِلْمَقَابِرِ عَقِبَ صَلَاةِ الْعِيْدِ إِنْ كَانَتْ لِلْمَوْعِظَةِ وَتَذَكُّرِ مَنْ مَاتُوْا وَكَانُوْا مَعَهُمْ فِى الْأَعْيَادِ يُنَعَّمُوْنَ بِحَيَاتِهِمْ ، وَطَلَبِ الرَّحْمَةِ لَهُمْ بِالدُّعَاءِ فَلَا بَأْسَ بِذَلِكَ أَبَدًا

Ertinya: ““Dari sini kita mengetahui bahawa umat Islam melakukan ziarah kubur setelah solat hari raya, jika untuk menjadi pelajaran dan mengingat orang yang telah mati, yang dahulu mereka bersamanya saat hari raya dan merasa senang dengan kehidupannya, serta memintakan rahmat dan doa untuk mereka, maka hukumnya tidak menjadi kesalahan dengan demikian itu selama-lamanya.” (Fatawa al-Azhar Juzuk 8 m. 391)

Dan telah menyebut oleh Ahli Majlis Fatwa Mesir Syeikh Mahmud Syalabi :

إن زيارة المقابر جائزة ومستحبة في أصلها، ويجوز ان تكون الزيارة في يوم العيد وفي غير يوم العيد

Ertinya : “Bahawasanya ziarah segala tanah perkuburan itu ialah harus dan disunatkan pada asalnya. Dan harus bahawa adalah ziarah kubur itu pada hari raya dan pada selain hari raya.”

Kemudian hendaklah orang yang ziarah kubur pada hari raya itu tidak melupakan tujuan dianjurkan ziarah kubur iaitu mengingatkan kepada kehidupan akhirat bukan semata-mata ziarah kerana ikut-ikutan sekadar mengikut adat.

Dan hendaklah yang ziarah itu mengucapkan salam kepada penghuni kubur yang diziarahi itu dan berdoa baginya dengan kebaikan dan berfikir tentang kehidupan selepas kematian.

Berkata Imam al-Imrani al-Syafie :

ويستحب أن يسلم عليهم، ويدعو لهم

Ertinya : “Dan disunatkan orang yang ziarah itu ucap salam ke atas penghuni kubur dan berdoa bagi mereka.” (Kitab Al-Bayan)

Sekurang-kurang lafaz salam ialah :

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ

Dan yang afdal ialah ucapan salam yang datang dalam hadis-hadis Nabi ﷺ.

Rasulullah ﷺ telah mengajar para sahabat yang datang ke kubur supaya membaca beberapa contoh ucapan yang di antaranya ialah :

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللهُ بِكُمْ لَلَاحِقُونَ أَسْأَلُ اللهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ

Ertinya : Semoga selamat sejahtera atas kamu sekalian wahai ahli kubur dari orang-orang beriman lelaki dan perempuan. Dan sesungguhnya kami insya-Allah dengan kamu sekalian pasti akan bertemu. Aku mohon akan Allah bagi kami dan bagi kamu sekalian akan keselamatan.”(HR Muslim)

BANTAHAN

Berkata orang-orang yang melarang ziarah kubur pada hari raya adalah sebab dilarang itu ialah kerana orang yang ziarah kubur pada hari raya akan bersedih dan berdukacita tidak lagi menyambut hari raya dalam keadaan gembira seperti orang lain maka perkataan ini adalah tidak betul dan hanyalah rekaan semata-mata kerana belum ada berlaku orang yang ziarah kubur pada hari raya setelah pulang dari ziarah tidak mahu berhari raya kerana tersangat sedih dan menangis.

Kesimpulannya ziarah kubur saudara mara yang telah meninggal dunia itu hukumnya adalah sunat sama ada pada hari raya atau pada hari yang lain dan siapa yang ziarah kubur pada hari raya maka dia telah masuk dalam kalangan orang yang menunaikan perintah Nabi ﷺ yang menyuruh ziarah kubur.

Wallahua’lam:

Kredit Ustaz Azhar Idrus

Perhatian : ‘Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan di ruangan akaun ini. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis sebarang komen yang berbentuk provokasi / penghinaan. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang tulis. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Pastikan komen yang baik-baik sahaja.’ – admin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

Scroll to Top