fbpx

USTAZ WADI ANNUAR

Batuk Tidak Membatalkan Solat

SOALAN :

Adakah benar jika seorang itu sedang mengerjakan solat kemudian dia batuk maka batal solatnya?

JAWAPAN :

Ketahui olehmu bahawa semata-mata batuk ketika mengerjakan solat tidaklah membatalkan solat akan tetapi batuk itu boleh menjadi sebab solat seseorang itu batal sebagaimana yang akan diterangkan.
Batuk yang menjadi sebab batal atau tidak sahnya solat ialah batuk ketika membaca rukun qauli yaitu batuk ketika takbiratul ihram dan batuk ketika membaca fatehah dan batuk ketika membaca tahyat akhir dan batuk ketika memberi salam.

Kita ambil satu contoh batuk ketika membaca al-Fatihah.
Jika batuk berlaku selepas selesai membaca satu ayat seperti selesai membaca Alhamdulillahi Rabbil ‘Almiin lalu dia terbatuk maka batuk seperti ini tidak memudaratkan bacaan. Dia hanya perlu menyambung bacaan Ar-Rahmani -Ar-Rahiim selepas batuknya itu. Begitulah dikiaskan dengan ayat-ayat yang seterusnya.

Ada pun jika batuk ketika sedang membaca satu ayat dan sebelum selesai membacanya lalu dia terbatuk maka wajiblah diulangi bacaan ayat tersebut kerana bacaan itu tidak sempurna bunyi sebutannya kerana dicelahi dengan bunyi batuk.

Jika tidak diulanginya bacaan yang tidak sempurna itu lalu dia rukuk maka batal solatnya kerana berpindah dari qiam kepada rukuk tanpa membaca fatehah dengan betul.

Dan adapun batuk pada bacaan surah yang sunat maka sunat dia ulangi bacaan tersebut dan jika tidak diulanginya bacaan yang sunat itu maka solatnya tidak batal kerana bacaan surah itu hanyalah sunat bukannya rukun. Dan harus seorang yang sedang membaca bacaan yang sunat bahawa dia tinggalkan membacanya sebab batuknya itu.

Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Sa’id r.a. menceritakan:

صَلَّى لَنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الصُّبْحَ بِمَكَّةَ فَاسْتَفْتَحَ سُورَةَ الْمُؤْمِنِينَ حَتَّى جَاءَ ذِكْرُ مُوسَى وَهَارُونَ أَخَذَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَعْلَةٌ فَرَكَعَ

Ertinya : “Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah menjadi imam bagi kami dalam solat fardhu subuh di Mekah maka baginda memulai (selepas fatehah) dengan membaca surah Al-Mu’minun sehingga sampai kepada ayat yang menyebut kisah Nabi Musa dan Harun. Kemudian telah mengenai akan Nabi sollallahu alaihi wasallam batuk lalu Nabi sollallahu alaihi wasallam pun rukuk.” (Hadith riwayat Imam Muslim)

Berkata Imam Nawawi yang maksudnya :
“Hadith ini menjadi dalil bahawa dibenarkan menghentikan bacaan (surah) dan tidak makruh yang demikian itu jika seseorang itu berhenti dengan ada sebab.” (Kitab Syarah Muslim)

Jadi terjawab sudah bahawa batuk di dalam solat tidak membatalkan solat kerana bukan dengan sengajanya dia batuk dan mengeluarkan bunyi.

Yang jadi batal solat ialah apabila bacaan yang wajib tidak disebut dengan sempurna dengan sebab seseorang itu batuk dan tidak dia ulangi membacanya dengan betul dan seperti demikian juga hukumnya dikiaskan dengan batuk itu dengan berdehem dan sendawa dan bersin dan menguap.
Menyebut olih Dr Wahbah Zuhaili :

ويعذر في اليسير عرفاً من التنحنح ونحوه كالسعال والعطاس وإن ظهر به حرفان

Ertinya : “Dan diberi uzur pada sedikit berdehem dan umpamanya seperti batuk dan bersin dan sekalipun keluar darinya dua huruf.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Wallahua’lam

Sumber: Ustaz Azhar Idrus

Perhatian : ‘Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan di ruangan akaun ini. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis sebarang komen yang berbentuk provokasi / penghinaan. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang tulis. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Pastikan komen yang baik-baik sahaja.’ – admin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

Scroll to Top