USTAZ WADI ANNUAR

Biodata Imam Abu Hanifah

BIODATA IMAM ABU HANIFAH

1. Imam Abu Hanifah dilahirkan di kota Kufah pada tahun 80 Hijrah bersamaan tahun 699 Masihi pada saat para sahabat sudah tidak ramai lagi yang masih hidup.

2. Nama sebenar Imam Abu Hanifah ialah Nu’man bin Thabit bin Zautha bin Mah. Beliau digelar Imamul A’zom ertinya guru agama yang agung dan sangat alim.

3. Pada masa Imam Abu Hanifah dilahirkan, kerajaan sedang berada dalam genggaman kekuasaan Bani Umaiyah. Khalifahnya ketika itu ialah Abdul Malik bin Marwan, iaitu khalifah Kerajaan Bani Umaiyah yang kelima dan yang paling hebat dan perkasa serta yang paling lama memerintah.

4. Imam Abu Hanifah ini dikurniakan umur yang panjang sehingga beliau sempat merasakan berada dalam pemerintahan Umaiyah dan Abbasiyah. Terlalu banyak konflik yang berlaku antara beliau dan pemerintah pada zamannya.

5. Sesungguhnya Imam Abu Hanifah telah membesar dalam keluarga ahli perniagaan menyebabkan beliau tidak mempunyai apa-apa masalah untuk terus menerus memberi tumpuan dan perhatian terhadap ilmu pengetahuan.

6. Imam Abu Hanifah saat masih kecil sering mendampingi ayahnya berdagang sutera. Hal ini sering membuatnya berkunjung ke Masjid Kufah. Di sana beliau sibuk menghafal al-Quran dan ribuan hadis Nabi ﷺ.

7. Imam Abu Hanifah banyak berguru. Mengikut riwayat guru beliau jumlahnya tidak kurang dari 200 orang guru yang kebanyakannya adalah dari kalangan generasi Tabi’en.

8. Antara gurunya yang masyhur, ialah al-Sya’rabi, Hammad bin Abi Sulaiman, Ibrahim bin Yazid al-Nakhaie, Alqamah bin Qais al-Nakhaie.

9. Antara murid-murid Imam Abu Hanifah pula seperti Imam al-Qadhi Abu Yusuf, Imam Muhammad bin Hasan al-Syaibani, Imam Zufar bin Huzail al-Kufy, Imam Hasan bin Ziyad al-Lu’lui.

10. Karya-karya Imam Abu Hanifah tidak ditulis oleh beliau secara langsung namun banyak kitab dinisbahkan kepada beliau dan telah banyak dibukukan oleh muridnya seperti Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad bin Hasan al-Syaibani.

11. Daripada ramai murid Imam Abu Hanifah ini yang menyusun rapi kaedah dan ijtihad guru mereka, maka terbentuknya satu sekolah pemikiran yang kini telah tersebar luas di dunia iaitu Mazhab Hanafi. Mazhab dan ijtihad Imam Abu Hanifah ini diajar dan diamalkan di beberapa negara Islam sampai ke hari ini.

12. Imam Abu Hanifah juga terkenal dengan ketegasan. Sejarah menceritakan bahawa pernah berlaku konflik antara beliau dengan pemerintah pada zamannya sehinggakan Imam Abu Hanifah terpaksa melawan mereka atas kezaliman yang telah dilakukan.

13. Ketegasan Imam Abu Hanifah ini telah membuatkan beliau dipenjara dalam tempoh yang lama oleh Khalifah Abu Jaafar al-Mansur, pemimpin yang memerintah pada ketika itu. Hal ini kerana keengganannya menerima rasuah berupa jawatan sebagai Qadhi Negara demi menutup kezaliman yang dilakukan pemerintah.

14. Ketika dalam penjara, keadaan kesihatan Imam Abu Hanifah semakin merosot dan badan beliau semakin lemah. Setiap hari belakang badan beliau disebat dengan cemeti sedangkan keadaannya telah uzur. Usianya ketika itu sudah menjangkau hampir 70 tahun.

15. Dalam riwayat sejarah juga ada menyebutkan bahawa Imam Abu Hanifah telah diberi racun yang kuat oleh pihak Istana Khalifah yang mana boleh menyebabkan kematian.

16. Ketika Imam Abu Hanifah merasa kematiannya sudah hampir, beliau lalu bersujud. Maka keluarnya roh beliau ketika sedang bersujud kepada Allah. Beliau wafat dalam penjara Kota Baghdad pada bulan Rejab tahun 150 Hijrah, bersamaan 767 Masihi ketika beliau berusia, 70 tahun.

17. Orang yang diamanahkan untuk memandikan jenazah Imam Abu Hanifah terdiri daripada beberapa orang dengan yang diketuai oleh al-Hasan bin Imarah.

18. Sebaik sahaja al-Hasan bin Imarah selesai memandikan jenazah Imam Abu Hanifah, beliau berkata sebagai meratap, “Mudah-mudahan Allah mengasihi engkau dan mengampunkan semua kesalahan engkau. Wahai orang yang merasai lapar selama 30 tahun dan selalu bangun malam selama 40 tahun. Demi Allah! Engkau adalah seorang yang menyusahkan orang ramai setelah pemergian engkau ini.”

19. Imam Abu Hanifah meninggalkan seorang isteri dan seorang anak yang bernama Hammad. Ketika menyembahyangkan jenazahnya, hampir seramai 50,000 orang telah menyembahyangkan dan Khalifah Abu Jaafar al-Mansur sendiri turut solat jenazah imam besar ini kerana mahu menenangkan hati rakyatnya yang bergelora terhadap baginda.

20. Beliau dimakamkan di Tanah Perkuburan al-Khaizaran di Timur Kota Baghdad. Dengan itu, hilanglah sebutir bintang yang telah menerangi dunia Islam dan mazhabnya telah dianuti oleh satu perempat penganut Islam di seluruh dunia.

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp

Perhatian : ‘Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan di ruangan akaun ini. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis sebarang komen yang berbentuk provokasi / penghinaan. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang tulis. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Pastikan komen yang baik-baik sahaja.’ – admin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

Scroll to Top