fbpx

USTAZ WADI ANNUAR

Masalah Poligami Dalam Islam

Poligami bermaksud seorang lelaki Islam berkahwin lebih daripada seorang isteri sehingga empat dengan syarat bahawa dia boleh berlaku adil kepada isteri-isterinya sebagaimana yang terkandung dalam surah Al-Nisa:

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا۟ فِى ٱلْيَتَـٰمَىٰ فَٱنكِحُوا۟ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ ٱلنِّسَآءِ مَثْنَىٰ وَثُلَـٰثَ وَرُبَـٰعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ فَوَٰحِدَةً

“Dan jika kamu khuatir tidak berlaku adil terhadap hak-hak perempuan yatim (apabila kamu mengahwininya), maka kahwinilah perempuan lain yang kamu senangi dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu khuatir tidak berlaku adil maka kahwinilah seorang sahaja.”

(Al-Nisa: 3)

Perbincangan mengenai poligami selalu menjadi isu yang hangat dan sensitif dalam kalangan kaum wanita khususnya. Sehingga ada di kalangan mereka yang tidak berpuas hati dengan adanya poligami dengan mengatakan “lelaki yang berpoligami mereka ini gila akan seks”, banyak lagi hentaman yang dilontarkan oleh mereka yang memilih untuk berpoligami.

Kita sedia maklum, Islam tidak menghalang adanya poligami. Sebahagian ulama juga mengatakan hukumnya harus selagimana seseorang itu menepati syarat yang telah digariskan oleh syarak dan undang-undang bagi mengelakkan berlakunya ketidakadilan terhadap kaum wanita.

Tidak semua lelaki yang berkahwin dibenarkan untuk berpoligami dan mengambil jalan mudah untuk berpoligami kerana ia dibenarkan dengan bersyarat serta pematuhan terhadap aspek undang-undang. Islam memperakui prinsip perkahwinan poligami kerana kepentingan kemasyarakatan serta bermatlamat untuk melindungi kebajikan kaum wanita.

Dalam aspek perundangan, berpandukan Akta 303 di bawah Seksyen 23 memperuntukan bahawa setiap lelaki yang sudah beristeri dan berhajat untuk berpoligami hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Syariah sebelum mengajukan permohonan kebenaran berkahwin kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Negeri masing-masing.

Poligami menjadi suatu kesalahan kepada mereka yang ingin berpoligami dengan berkahwin terlebih dahulu tanpa kebenaran Mahkamah. Banyak pasangan memilih untuk berkahwin di luar negara seperti di Selatan Thailand kerana tidak mendapatkan kebenaran Mahkamah atas sebab tidak memenuhi syarat untuk berpoligami. Ini menyebabkan poligami menjadi satu kesalahan kerana bembang ia tidak mampu untuk berlaku adil dan akan menambah bebannya di akhirat.

Antara kriteria yang akan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah dalam meluluskan permohonan berpoligami ialah:

1. Suami seorang yang sihat jasmani dan rohani serta mempunyai sifat tanggungjawab.

2.Suami kemampuan yang mencukupi untuk menanggung isteri-isteri, anak-anak dan orang yang diletakkan di bawah tanggungannya.

3. Suami yang boleh menunjukkan sifat kasih sayang terhadap isteri-isteri, anak-anak dan orang yang diletakkan di bawah tanggungannya dengan cara saksama dan adil.

4. Bersedia menjadi ketua keluarga, pelindung kepada isteri-isteri dan anak-anak serta orang yang diletakkan di bawah tanggungannya berhubung dengan pelajaran, kesihatan, keselamatan dan kebajikan sosial.

5. Isteri yang sedia ada tidak dapat memikul tanggungjawab sebagai isteri kerana sakit atau selalu keuzuran.

6. Isteri yang sedia ada tidak dapat melahirkan anak atau zuriat kerana kemandulan.

Kesimpulan:

Tujuan berpoligami adalah untuk membawa kesejahteraan dunia dan akhirat. Jika seseorang mengambil jalan untuk berpoligami, individu tersebut harus berfikir sama ada ingin menerapkan syariat hanya untuk berkahwin atau ingin membangun nilai ketaatan kepada Allah Taala? Kerana amalan berpoligami telah menyempitkan tafsiran dalam masyarakat sebagai sesuatu yang lebih membawa kemudaratan. Poligami juga perlu merujuk kembali bagaimana permulaan ia disyariatkan sebagai satu alat penyelesaian sosial yang perlu digunakan dengan sangat teliti serta berhemah. Jika disalahgunakan, ia akan memberi kesan negatif kepada diri sendiri, keluarga bahkan masyarakat sekeliling. Rasulullah ﷺ juga memberi ancaman kepada para suami yang tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya: Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ كَانَتْ لَهُ امْرَأَتَانِ فَمَالَ إِلَى إِحْدَاهُمَا جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَشِقُّهُ مَائِلٌ

“Barang siapa yang memiliki dua orang isteri lalu dia lebih cenderung kepada salah seorang di antara keduanya, maka dia akan datang pada hari kiamat kelak dengan sebelah tubuhnya miring(senget)” 

[Riwayat Abu Daud (2133) dan al-Tirmizi(1141)]


Sumber Rujukan:

  •  Jabatan Bantuan Guaman
  •  Addin
  •  Ustaz Adi Hidayat

Pembantu Pegawai Syariah (UWA) // Fatimah

Perhatian : ‘Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan di ruangan akaun ini. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis sebarang komen yang berbentuk provokasi / penghinaan. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang tulis. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Pastikan komen yang baik-baik sahaja.’ – admin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

Scroll to Top