fbpx

USTAZ WADI ANNUAR

Hukum Membaca Yasin Pada Malam Nisfu Syaaban

Antara malam-malam yang diberkati dalam Islam adalah malam Nisfu Syaaban, Terdapat beberapa riwayat yang menunjukkan keutamaan malam ke-15 daripada bulan Syaaban ini. Antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asha’riy daripada baginda Nabi ﷺ :

( إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ، فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ، إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ )

Ertinya: Allah melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, dan Dia memberi ampun kepada semua makhluk-Nya, kecuali kepada orang musyrik atau orang yang bermusuhan. (Riwayat Ibn Majah)

Hukum Membaca Yasin Sebanyak 3 Kali Berserta Doa Pada Malam Nisfu Syaaban

Menjadi adat kebiasaan orang Melayu ketika malam Nisfu Syaaban mengulangi bacaan surah Yasin sebanyak tiga kali dan disertai dengan tiga doa. Al-Imam al-Syafie menyebutkan bahawa malam Nisfu Syaaban merupakan antara malam yang mustajab doa. Oleh sebab itu menjadi adat kebiasaan orang Melayu berdoa sebanyak kali pada malam tersebut, adapun bacaan surah Yasin sebanyak tiga kali sebelum berdoa merupakan bentuk tawassul dengan amalan soleh yang diharuskan dalam syarak seperti hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari tentang 3 pemuda yang bertawassul dengan amalan mereka untuk meminta agar Allah menyelamatkan mereka.

Hukum Membaca Yasin Secara Berjemaah Pada Malam Nisfu Syaaban

Menjadi adat kebiasaan salaf al-saleh menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan ibadat sama ada dengan solat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya. Hal ini disebutkan oleh Ibn Rajab dalam Lathaif al-Ma’arif (247) :

‌وليلة ‌النّصف ‌من ‌شعبان ‌كان ‌التابعون ‌من ‌أهل ‌الشام – كخالد بن معدان ومكحول ولقمان بن عامر وغيرهم – يعظّمونها ويجتهدون فيها في العبادة، وعنهم أخذ الناس فضلها وتعظيمها.

Ertinya: Dan para tabiin daripada ahli Syam seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain sangat mengagungkan malam Nisfu Syaaban dan mereka akan bersungguh-sungguh untuk beribadah pada malam tersebut. Dan daripada merekalah masyarakat mengambil faedah bahawa malam Nisfu Syaaban wajar diagungkan dan mempunyai fadilat yang besar.

Adapun menghidupkannya dengan ibadat secara berjemaah seperti membaca surah Yasin secara beramai-ramai, maka para ulama berkhilaf pendapat dalam masalah ini. Ibn Rajab menyebutkan:

يستحبّ إحياؤها جماعة في المساجد، كان خالد بن معدان ولقمان بن عامر وغيرهما يلبسون فيها أحسن ثيابهم ويتبخّرون ويكتحلون ويقومون في المسجد ليلتهم تلك، ووافقهم إسحاق بن راهويه على ذلك، وقال في قيامها في المساجد جماعة: ليس ذلك ببدعة.

Ertinya: Digalakkan menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan beribadah secara berjemaah di masjid. Menjadi kebiasaan Khalid bin Ma’dan, Luqman bin ‘Amir dan selainnya (daripada kalangan tabiin) memakai pakaian yang paling elok, berwangi-wangian, memakai celak kemudian mendirikan malam Nisfu Syaaban di masjid (secara berjemaah), dan perkara ini dipersetujui oleh Ishaq bin Rahawaih, dan kata beliau mendirikan malam Nisfu Syaaban secara berjemaah di masjid dengan ibadat bukanlah satu perkara yang bidaah.

Ibn Taymiyyah juga menyokong perkara ini, kata beliau:

إذا صلى الإنسان ليلة النصف وحده ‌أو ‌في ‌جماعة ‌خاصة ‌كما ‌كان يفعل طوائف من السلف فهو أحسن

Ertinya: Bukanlah menjadi suatu masalah jika seseorang ingin mendirikan ibadah pada malam Nisfu Syaaban secara berseorangan ataupun secara berjemaah seperti yang dilakukan oleh sebahagian salaf yang merupakan perkara yang baik. (Majmu al-Fatawa, 23/131)

Hukum Mengkhususkan Bacaan Surah Yasin dan Mengulangnya Sebanyak 3 Kali Pada Malam Nisfu Syaaban

Mengkhususkan bacaan tertentu pada waktu tertentu bukanlah suatu perkara yang bidaah, hal ini kerana para sahabat pernah mengkhususkan bacaan surah tertentu secara berterusan dan perkara tersebut tidak pernah dilakukan oleh baginda Nabi ﷺ. Seperti hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam sahihnya (1/158) tentang kisah seorang sahabat yang mengulang-ulang surah al-Ikhlas pada setiap rakaat ketika menjadi imam sedangkan perkara tersebut tidak pernah dilakukan oleh Baginda Nabiﷺ dan Nabi ﷺ tidak melarangnya bahkan memuji tindakan sahabat tersebut. Hadith ini menjadi dalil harusnya mengulang-ulang surah atau ibadat tertentu meskipun tidak pernah dilakukan oleh Baginda Nabi ﷺ.

Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibn Umar:

كان النبي صلى الله عليه وسلم يأتي مسجد قباء كل سبت، ماشيا وراكبا.

Ertinya: Pada setiap hari Sabtu Baginda Nabi ﷺ akan ke Masjid Quba’ dengan berjalan kaki atau menaiki kenderaan. (al-Bukhari, 1/399)

Ibn Hajar ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan bahawa : Berdasarkan hadith ini, harus bagi seseorang untuk mengkhususkan hari tertentu dengan amal kebaikan (ibadat) secara istiqamah. (Fathul Bari, 3/69)

Kesimpulan

Kesimpulannya, hukum membaca surah Yasin pada malam Nisfu Syaaban sebanyak 3 kali secara beramai-ramai seperti yang dilakukan oleh masyarakat Melayu adalah harus, bukan suatu perkara mungkar atau bidaah tercela kerana amalan ini mempunyai sandaran di sisi syarak.

– Admin UWA

SEBARKAN SEMOGA RAMAI BEROLEH MANFAAT

Perhatian : ‘Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan di ruangan akaun ini. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis sebarang komen yang berbentuk provokasi / penghinaan. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang tulis. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Pastikan komen yang baik-baik sahaja.’ – admin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

Scroll to Top