fbpx

USTAZ WADI ANNUAR

Suami Curang Bolehkah Isteri Minta Cerai?

Pengertian Curang

Curang boleh berlaku sama ada daripada pihak suami ataupun isteri. Dalam agama Islam, perbuatan curang adalah bermaksud tidak setia terhadap pasangannya dengan menjalin hubungan cinta dengan orang lain sehingga mengakibatkan perasaan marah, cemburu dan persaingan.
Isteri perlu sentiasa menegur dan menasihati suami tetapi jika tidak membuahkan hasil atau suami tetap melakukan curang terhadap isterinya, maka isteri boleh meminta pertolongan daripada pihak mahkamah syariah untuk memberi kaunseling kepada suami. Jika tidak berhasil, maka terpulang kepada isteri jika tidak ada alasan yang munasabah.

1. Bolehkah Isteri Mohon Cerai Sebab Suami Kahwin Lain?

Hukumnya adalah haram. Kerana apabila suami itu tidak mempunyai perlakuan atau sifat kejahatan pada dirinya dan dia mampu untuk berkahwin lain. Jika isteri tersebut nekad untuk memohon cerai kerana suaminya berkahwin lain, maka haram bagi isteri itu untuk bau syurga.

2. Curang Akibat Penderaan Emosi, Isteri Boleh Mohon Cerai

Undang-undang Keluarga Islam memberi ruang untuk sesuatu permohonan perceraian dilakukan atas alasan penderaan emosi. Antara contoh penderaan emosi atau penganiayaan yang sering berlaku ialah apabila suami mengutamakan atau memberi layanan kepada teman wanitanya melebihi isteri sendiri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, terdapat dua peruntukan berkaitan iaitu permohonan perceraian talak di bawah Seksyen 47 dan tuntutan fasakh di bawah Seksyen 52.

Seksyen 52(1)(h) (i) memperuntukkan secara khusus berkaitan penganiayaan pasangan bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suami­nya, mengikut mana-mana berkenaan, iaitu antara lain secara lazim menyakitinya atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya.

“Malah ia lebih luas termasuk enggan bercakap dengan isteri, membelakangkan isteri atau memalingkan muka daripadanya semasa di katil, mengutamakan atau memberi layanan kepada perempuan lain daripada isteri, memukul dengan pukulan yang menyakiti (tidak disyaratkan pukulan itu dilakukan berulang kali dan lazim),” katanya.

Beliau yang juga bekas Ketua Hakim Syarie berkata, penderaan emosi lebih bahaya daripada fizikal jika tidak ditangani lebih awal iaitu merupakan perlakuan dharar, yang memudaratkan pasangan dalam perkahwinan. Kata beliau, penderaan emosi atau fizikal adalah kes yang sama seriusnya kerana ia melibatkan dharar atau kezaliman ke atas individu yang sepatutnya tidak berlaku dan ditegah oleh syarak.

Jelasnya, penderaan emosi atau mental difahami sebagai sebarang bentuk perilaku yang melibatkan kejadian seperti pengasingan atau pemulauan dan penyisihan ke atas mana-mana individu.

Bentuk perlakuan itu katanya, secara sengaja dan sedar, strategik dan terancang, serangan secara lisan yang berterusan, sebarang penghinaan dan intimidasi atau apa-apa perilaku lain yang boleh mendatangkan perasaan kerendahan moral dan kehilangan maruah keperibadian dan identiti, serta harga diri pada individu tertentu atau sesiapa sahaja. Jelas beliau, penderaan emosi berkait dengan ‘kecederaan’ psikologi seseorang yang biasanya hanya boleh dibuktikan melalui keterangan pakar.

“Penderaan kategori ini memang sukar dikesan secara zahir kerana tidak berlaku kecederaan fizikal, sedangkan penderaan emosi meninggalkan kesan lebih mendalam, berpanjangan dan membahayakan mangsa,” katanya.

Apa pun keadaannya, kata beliau, dharar secara emosi oleh suami terhadap isterinya (atau sebaliknya) tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menimbulkan kesan dan trauma bukan sahaja kepada isteri atau suami tetapi kepada keseluruhan institusi keluarga tersebut.

Katanya, Akta Keganasan Rumah Tangga pada 2012 juga memperluas takrif keganasan rumah tangga daripada hanya menekankan aspek penderaan berbentuk fizikal dan seksual kepada penderaan bukan fizikal iaitu psikologi dan emosi.

Beliau berkata, mangsa keganasan rumah tangga boleh membuat aduan di mana-mana balai polis mengenai penderaan emosi dan psikologi yang dialami.

“Sekiranya penyelesaian melalui runding cara kekeluargaan dan konsultasi psikologi tidak berhasil dan konflik masih berpanjangan sehingga menimbulkan kemudaratan, isteri atau suami boleh menggunakan haknya dari segi undang-undang untuk memohon perceraian atau fasakh di mahkamah syariah.

“Cuma, isu yang berbangkit daripada permohonan cerai atau fasakh adalah berkenaan keterangan dan pembuktian yang mencukupi bagi membolehkan mahkamah meluluskan permohonan berkenaan,” katanya.

Sumber Rujukan
1. Ustaz Azhar Idrus
2. Utusan Malaysia
3. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka

Pembantu Pegawai Syariah (UWA) // Hayana

Perhatian : ‘Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan di ruangan akaun ini. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis sebarang komen yang berbentuk provokasi / penghinaan. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang tulis. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Pastikan komen yang baik-baik sahaja.’ – admin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

Scroll to Top