fbpx

USTAZ WADI ANNUAR

‘Kenduri Arwah’ di sisi syarak

Kenduri arwah merupakan suatu amalan yang menjadi kebiasaan orang Melayu apabila berlakunya kematian. Namun ada sekumpulan pihak yang mendakwa bahawa amalan ini adalah suatu amalan bidaah yang haram. Benarkah pernyataan tersebut? Apakah pandangan para ulama tentang perkara ini?

Menurut Jabatan Fatwa Mesir, hukum melakukan kenduri arwah adalah harus selama mana tidak terdapat padanya :

      • Niyahah ataupun ratapan.
      • Menambah-nambah kesedihan.
      • Menggunakan harta si mati.

Jika diteliti kenduri arwah yang diamalkan di Malaysia tidak mengandungi sebarang bentuk niyahah atau ratapan bahkan ia mengandungi bacaan al-Quran, zikir-zikir, doa dan sebagainya. Ianya juga tidak menambahkan kesedihan terhadap keluarga si mati bahkan menggembirakan hati keluarga si mati. Hal ini kerana ia berpeluang membantu menyampaikan pahala zikir dan al-Quran kepada si mati.

Berkata Imam Syihabuddin al-Nafrawiy di dalam al-Fawakih al-Dawaniy (1/285) :

وأما ما يصنعه أقارب الميت من الطعام وجمع الناس عليه فإن كان لقراءة قرآن ونحوها مما ‌يرجى ‌خيره ‌للميت فلا بأس به

“Adapun apa yang dilakukan oleh keluarga si mati seperti menyediakan makanan dan mengajak manusia untuk makan bersama-sama ini dengan tujuan membaca al-Quran atau apa-apa yang sepertinya daripada perkara-perkara yang diharapkan boleh memberi kebaikan kepada si mati maka amalan tersebut dibolehkan.”

Perkara ini juga disokong oleh Imam al-Tahtawi dalam Hasyiahnya ke atas Maraqi al-Falah (617) :

فهذا يدل على إباحة صنع أهل الميت الطعام ‌والدعوة ‌إليه

“Ini menunjukkan keharusan bagi keluarga si mati untuk menyediakan makanan dan mengajak orang ramai makan bersama-sama”.

 

Adapun dalil yang menunjukkan keharusannya adalah :

Hadith riwayat al-Bukhari dari Saidatina Aisyah (7/75) :

أنها كانت إذا مات الميت من أهلها فاجتمع لذلك النساء، ثم تفرقن إلا ‌أهلها ‌وخاصتها، أمرت ببرمة من تلبينة فطبخت، ثم صنع ثريد فصبت التلبينة عليها، ثم قالت: كلن منها؛ فإني سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: التلبينة مجمة لفؤاد المريض، تذهب ببعض الحزن

“Kebiasaan Saidatina Aisyah apabila mati seseorang dari keluarganya, maka para wanita akan berkumpul kemudian mereka pulang kecuali keluarga dan orang yang rapat dengannya. Lalu beliau akan memerintahkan untuk dimasak talbinah (sejenis bubur) di dalam sebuah periuk. Tharid (sejenis sup) juga akan disediakan lalu dituang ke atas talbinah. Kemudian beliau berkata : Makanlah kerana aku mendengar Rasulullah ﷺ telah bersabda : Talbinah memberi ketenangan kepada hati yang sakit dan ia juga mengurangkan kesedihan.”]

Kesimpulannya, amalan kenduri arwah bukanlah satu amalan bidaah yang diharamkan. Bahkan terdapat di sana dalil yang menunjukkan keharusan amalan ini. Apa yang diamalkan masyarakat nusantara kita sejak dahulu mempunyai sandaran dalil dan kaedah syarak. Dan ia sama sekali tidak terkait dengan warisan atau ritual agama lain seperti yang mereka tohmahkan.

Pembantu Pegawai Syariah (UWA) // Muhammad Ammar

Perhatian : ‘Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan di ruangan akaun ini. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis sebarang komen yang berbentuk provokasi / penghinaan. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang tulis. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Pastikan komen yang baik-baik sahaja.’ – admin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

Scroll to Top