fbpx

USTAZ WADI ANNUAR

Bilakah Diwajibkan Ibadah Haji dan Apakah Hikmah Pensyariatannya?

Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang ke lima dan wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam yang mukallaf serta telah cukup syarat-syaratnya. 

 

Justeru, setiap umat Islam mestilah menanam di dalam hati serta berazam untuk menunaikan ibadah haji sekurang-kurangnya satu kali seumur hidup dan sentiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah Allah ﷻ tersebut. 

 

Menurut jumhur ulama, kefarduan haji mula diwajibkan pada tahun ke-6 Hijrah kerana pada tahun itulah turunnya wahyu Allah ﷻ daripada Surah al-Baqarah ayat 196:

وَأَتِمُّوا۟ ٱلْحَجَّ وَٱلْعُمْرَةَ لِلَّهِ ۚ فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا ٱسْتَيْسَرَ مِنَ ٱلْهَدْىِ ۖ وَلَا تَحْلِقُوا۟ رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ ٱلْهَدْىُ مَحِلَّهُۥ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah. Jika kamu terkepung (terhalang oleh musuh atau kerana sakit), maka (sembelihlah) korban yang mudah didapati dan jangan kamu mencukur kepalamu sebelum korban sampai di tempat penyembelihannya.”

 

Sesiapa yang menafikan hukum kewajipan menunaikan ibadah haji, maka mereka itu jatuh kufur dan murtad serta terkeluar daripada agama Islam. 

 

Sebagaimana firman Allah ﷻ dalam Surah Ali ‘Imran ayat 97:

وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلْبَيْتِ مَنِ ٱسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ عَنِ ٱلْعَٰلَمِينَ

Maksudnya: “Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang mampu mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.”

 

Dari segi sejarah, ibadah haji ialah syariat yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ sebagai memperbaharui dan menyambung ajaran Nabi Ibrahim AS. Ibadah haji mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun keenam hijrah. Pada tahun tersebut Rasulullah ﷺ bersama lebih kurang 1500 orang telah berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardu haji tetapi tidak dapat mengerjakannya kerana telah dihalang oleh kaum Quraisy sehinggalah mewujudkan satu perjanjian yang dinamakan perjanjian Hudaibiyah. 

 

Perjanjian itu membuka jalan bagi perkembangan Islam di mana pada tahun berikutnya iaitu tahun ketujuh hijrah, Rasulullah ﷺ telah mengerjakan umrah bersama 2000 orang umat Islam. Pada tahun kesembilan hijrah, barulah ibadah haji dapat dikerjakan di mana Rasulullah ﷺ mengarahkan Sayidina Abu Bakar al-Siddiq RA mengetuai 300 orang umat Islam mengerjakan haji. 

 

Nabi Muhammad ﷺ telah menunaikan fardu haji sekali sahaja semasa hayat baginda. Haji itu dinamakan ‘Hajjat al-Wada’ atau ‘Hajjat al-Balagh’ atau ‘Hajjat al-Islam’ atau ‘Hajjat al-Tamam wal Kamal’ kerana selepas haji itu tidak berapa lama kemudian baginda pun wafat. Baginda telah berangkat ke Madinah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun kesepuluh hijrah bersama isteri dan sahabat-sahabat baginda seramai lebih kurang 90,000 umat Islam (khilaf ulama). 

 

Baginda telah menyempurnakan amalan-amalan sunat ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah, sekarang dikenali dengan nama Bir ‘Ali iaitu 10km daripada Madinah dan baginda sampai di Makkah pada 4 Zulhijjah setelah mengambil masa sembilan hari perjalanan. Baginda berangkat ke Mina pada 8 Zulhijjah dan bermalam di situ. 

 

Kemudian ke ‘Arafah untuk berwukuf pada 9 Zulhijjah yang jatuhnya pada hari Jumaat. Rasulullah ﷺ telah menyempurnakan semua rukun dan syarat wajib haji sehingga 13 Zulhijjah. Pada 14 Zulhijjah, Rasulullah ﷺ telah berangkat meninggalkan Makkah menuju balik ke Madinah.

 

Terdapat beberapa hikmah di sebalik pensyariatan haji. Antaranya ialah ibadah haji bukan suatu bentuk ibadah yang menyeru setiap individu mengasingkan diri di tempat terpencil, jauh dari hiruk pikuk manusia dan aman daripada pelbagai remeh temeh kehidupan bersosial. Sebaliknya, ibadah haji dilakukan secara berjemaah, di mana jutaan umat Islam berhimpun di tempat yang sama, tetapi terdiri daripada latar yang berbeza sama ada pada aspek geografi, bahasa, budaya, kedudukan, keturunan, pendidikan, harta dan lain-lain.

 

Selain itu, ibadah haji juga menuntut pelaksananya melakukan pelbagai amalan seperti berhimpun, bergerak, melontar, tawaf, berlari anak dan lain-lain secara bersama. Dengan itu, pengalaman rohaniah yang dicapai bukan seperti pengalaman bertapa yang memutuskan hubungannya dengan dunia luar, tetapi ia pengalaman tingkat tinggi kemampuan mencapai kemuncak iman kepada Allah ﷻ dalam suasana keramaian dengan kesibukan dan kelelahannya yang tersendiri. 

 

Oleh itu, jelaslah di sini bahawa ibadah haji ini merupakan pensyariatan yang diturunkan berdasarkan kepada kemampuan manusia. Namun, pelaksanaannya menuntut kepada iltizam yang tinggi dan merupakan rukun yang terakhir yang melengkapkan kesempurnaan Islam seseorang.

Perhatian : ‘Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan di ruangan akaun ini. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis sebarang komen yang berbentuk provokasi / penghinaan. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang tulis. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Pastikan komen yang baik-baik sahaja.’ – admin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

Scroll to Top