fbpx

USTAZ WADI ANNUAR

Bidaah : Apa Yang Rasulullah ﷺ Tidak Buat?

Perbahasan bidaah seringkali menimbulkan tanggapan negatif dalam masyarakat. Istilah ini sering dikaitkan dengan kesesatan dalam kalangan masyarakat secara melulu tanpa sebarang perincian maknanya yang sebenar. Keadaan ini menjadi lebih parah apabila diiringi budaya menyesatkan dan mengkafirkan golongan yang tidak bersependapat. Dalam perbahasan ini, slogan bidaah sering dilabel terhadap perkara yang tidak dilakukan Rasulullah ﷺ yang secara tidak langsung terkait dengan perbahasan konsep al-tark, iaitu perkara yang ditinggalkan oleh Baginda ﷺ.

Persoalannya, sejauh manakah label bidaah sesuai untuk merujuk kepada perkara yang ditinggalkan oleh Baginda ﷺ? Adakah setiap perkara yang ditinggalkan atau tidak dilakukan oleh Rasulullah ﷺ adalah perkara yang tercela?

Definisi Bidaah & al-Tark
Makna bidaah pada bahasa ialah rekaan. Dalam perbahasan ini, ia merujuk kepada perkara baharu dalam agama[1] yang tidak mempunyai contoh atau bandingan. Berdasarkan nukilan Imam al-Baihaqi, Imam al-Shafi’i berkata:

المحدَثاتُ من الأمور ضربان: أحدهما: ما أُحدثَ يخالف كتابًا أو سنةً أو أثرًا أو إجماعًا، فهذه ‌البدعة الضلالة. والثاني: ما أُحدث من الخير لا خلاف فيه لواحد من هذا، وهذه محدثة غير مذمومة

Maksudnya: Perkara baharu [dalam agama] ada dua jenis. Pertama, perkara yang diadakan yang menyalahi al-Kitab atau Sunnah atau athar atau ijmak. Inilah bidaah yang sesat. Kedua, perkara baik yang diadakan yang tidak menyalahi salah satu daripada perkara tadi. Inilah perkara baru yang tidak tercela.[2]

Adapun al-tark dari segi bahasa bermaksud meninggalkan sesuatu perkara. Dalam istilah syarak pula, al-tark ialah sesuatu yang ditinggalkan oleh Rasulullah ﷺ sama ada dengan tujuan tertentu atau tidak[3]. Perkara yang ditinggalkan tersebut adalah atas beberapa sebab berikut[4]:

  1. Perkara tersebut dilarang atau ditegah oleh syarak seperti meninggalkan perkara khurafat.
  2. Perkara tersebut bukan adat kebiasaan yang dilakukan seperti Rasulullah ﷺ tidak memakan biawak dab.
  3. Perkara tersebut dibimbangi menjadi kewajipan kepada umat Islam lantas membebankan umatnya seperti Rasulullah ﷺ meninggalkan solat tarawih secara berjemaah.
  4. Meninggalkan sesuatu perkara disebabkan Baginda ﷺ tidak terlintas untuk melakukannya seperti para Sahabat membina mimbar untuk Rasulullah ﷺ berkhutbah.
  5. Meninggalkan sesuatu disebabkan maslahah umat seperti pembinaan Kaabah kerana dibimbangi kaum Quraisy kembali kufur jika ketiadaan Kaabah.
  6. Meninggalkan sesuatu disebabkan ia merupakan sesuatu perkara yang bebas untuk dilakukan atau ditinggalkan seperti perkara-perkara sunat seperti memperbanyakkan sedekah, zikir, solat-solat sunat dan lain-lain.
  7. Meninggalkan sesuatu disebabkan terlupa seperti Rasulullah ﷺ pernah solat dengan rakaat yang kurang disebabkan terlupa bilangan rakaat ketika solat. Kemudian, Baginda ﷺ menambah bilangan rakaat yang tertinggal serta diikuti dengan sujud sahwi.
  8. Meninggalkan sesuatu disebabkan ia perkara khususiyyah kepada Baginda ﷺ dan kaum keluarga Baginda sahaja seperti Rasulullah ﷺ melarang kaum keluarganya menerima sedekah dan meninggalkan harta sedekah dan zakat.
  9. Meninggalkan sesuatu perkara bagi menyatakan bahawa meninggalkan perkara tersebut adalah sunnah seperti Rasulullah ﷺ meninggalkan azan dan iqamah ketika mengerjakan solat hari raya.

Pembahagian Bidaah Menurut Ahlul Sunnah Wal Jamaah Imam al-Shafi’i telah membahagikan bidaah kepada dua bahagian iaitu bidaah hasanah (baik) dan bidaah dalalah (sesat). Katanya:

البدعة بدعتان: محمودة ومذمومة، فما وافق السنّة فهو محمود، وما خالفها فهو مذموم[5]

Maksudnya: Bidaah itu dua jenis: bidaah yang dipuji dan bidaah yang dikeji. Apa yang selari dengan sunnah itu, maka ia dipuji dan apa yang bertentangan dengannya, maka ia dikeji.

Berdasarkan kenyataan di atas jika sesuatu perkara baharu itu selari dengan sunnah Nabi ﷺ atau tidak bertentangan dengan al-Quran, sunnah, athar Sahabat RA dan ijmak maka ia disebut sebagai bidaah hasanah (baik) atau bidaah mahmudah (terpuji). Manakala, jika sesuatu perkara baharu itu bertentangan dengan sunnah Nabi ﷺ atau bertentangan dengan al-Quran, sunnah, athar Sahabat dan ijmak maka ia disebut sebagai bidaah dalalah (sesat) atau bidaah mazmumah (tercela). Bahkan dalam pembahagian bidaah ini juga, terdapat ulama di dalam Mazhab Shafi’i yang memperincikan lagi pembahagian bidaah hasanah dan bidaah dalalah kepada lima bahagian.

Antaranya ialah pembahagian yang disebut oleh Imam ‘Izz al-Din Abd al-Salam. Menurut beliau, pembahagian tersebut adalah kerana bidaah adalah perkara baharu dan bukan hukum. Hukum hanya ada lima iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Oleh itu, setiap perkara baharu mestilah ditimbang berpandukan neraca hukum yang lima ini [6]:

  1. Bidaah wajib seperti mengkaji Ilmu Tatabahasa (Nahu) untuk memahami al-Quran dan Hadis.
  2. Bidaah sunat seperti mendirikan sekolah dan tempat pengajian.
  3. Bidaah harus seperti bersalam.
  4. Bidaah makruh seperti menghias masjid dengan ukiran.
  5. Bidaah haram seperti mengikut fahaman Qadariyah dan Jabariyah.

Berikutan ini, Imam ‘Izz al-Din Abd al-Salam telah merumuskan bahawa bidaah hasanah adalah merangkumi bidaah wajib, bidaah sunat dan bidaah harus. Adapun bidaah dalalah pula merangkumi bidaah makruh dan bidaah haram.

Kesimpulan
Berdasarkan perbahasan di atas, segala perkara baru yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah ﷺ tidaklah semuanya buruk dan tercela, serta tidak pula semuanya baik dan terpuji.

Hukum segala perkara baru yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah ﷺ adalah tertakluk kepada hukum taklifi yang lima iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Pengklasifikasiannya juga mestilah mengikut neraca yang diambil kira oleh syarak berdasarkan sandaran dan pertimbangan dalil-dalil umum yang lain.

[1] Muhammad Mukram bin Alī Abu Faḍl Jamal al-Din Ibn Manzur al-Anṣari (m. 711H). Lisan al-‘Arab. (Beirut, Lubnan: Dar al-Ṣadir, 1414H/ 1993M). 8/6.
[2] Abu Bakr Ahmad bin al-Husayn al-Baihaqi. al-Madkhal ila ‘Ilm al-Sunan. (Beirut: Lubnan: Dar al-Minhaj, 2017M). 2/633.
[3] Quṭb Muṣṭafā Sanū. Mu‘jam Muṣṭalaḥāt Uṣūl al-Fiqh. (Dimashq: Dār al-Fikr al-Mu‘āsir, 2000). 132.
[4] Muḥammad Salaḥ al-Itrabī. Kitab al-Turuq al-Nabawiyyah. (Qatar: Wizarah wa al-Shuun al-Islamiyyah, 1422H/2012M). 1/265.
[5] Al-‘Asqalānī, Aḥmad bin Ali bin Ḥajar (m. 852H). Fatḥ al-Bārī bi Syarḥ Saḥiḥ al-Bukhārī. (Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1379 H). 13/253.
[6] Sultān al-Ulamā, ‘Izz al-Dīn ‘Abd al-Salām (m. 660H). Qawāid al-Aḥkām fī Maṣāliḥ al-Anām. (Kaherah: Dar Umm al-Qura, 1414H/1991M). 2/204.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor
KONGSIKAN ILMU INI, SEMOGA LEBIH RAMAI DAPAT MANFAAT

Perhatian : ‘Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan di ruangan akaun ini. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis sebarang komen yang berbentuk provokasi / penghinaan. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang tulis. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Pastikan komen yang baik-baik sahaja.’ – admin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

Scroll to Top