Ustaz Wadi Annuar

Ustaz Wadi Annuar

CEO Dakwah Global Sdn. Bhd.

Share:

Mengapa Umat Islam Mempelajari Hanya 20 Sifat Allah SWT?

Allah SWT memiliki nama-nama dan sifat-sifat yang sempurna, dan bilangannya sangat banyak. Namun begitu, umat Islam umumnya mempelajari hanya 20 sifat Allah SWT. Mengapa demikian? Berikut adalah penjelasannya.

1.⁠ Sifat Kesempurnaan Allah SWT Tiada Batasannya

⁠Sifat-sifat kesempurnaan bagi Allah SWT tiada batasannya. Jumlah 20 sifat tersebut bukanlah bermaksud sifat Allah SWT hanya terhad kepada bilangan 20 sahaja. Ini kerana, dalam kitab Umm al-Barahin yang menjadi antara rujukan utama bagi huraian Sifat 20 ini didapati Imam al-Sanusi berkata: “Maka, sebahagian daripada apa yang wajib bagi Tuhan kita adalah 20 Sifat.”

Ayat asal ‘sebahagian’ menunjukkan sifat-sifat wajib bagi Allah SWT melebihi 20 sifat. Jadi, sejak awal lagi ulama tidak mengehadkan bilangan 20 sahaja. Menurut Sheikh al-Buti, Allah menyifatkan diri-Nya dengan sifat yang banyak tetapi perincian semua sifat tersebut terkandung dalam 20 sifat utama (‘ishrin sifah ra’isiyyah). Ini memudahkan orang awam untuk mengenali Allah SWT menerusi beberapa sifat terpilih berbanding mengenali-Nya menerusi semua sifat-sifat yang terkandung dalam al-Quran dan hadis yang jumlahnya sangat banyak.

2.⁠ 20 Sifat Ini Adalah Syarat Ketuhanan

20 sifat tersebut adalah syarat ketuhanan yang mesti dimiliki bagi sesiapa yang dianggap Tuhan. Jika Dia adalah Tuhan, secara akal yang sejahteranya, Dia mesti ada sifat 20 ini. Mustahil Dia mendakwa diri-Nya Tuhan jika Dia tiada sifat Qudrah (berkuasa), ‘Ilm (mengetahui) dan seumpamanya. Jika Dia ada 20 sifat ini, maka layaklah ia menjadi Tuhan namun tiada yang layak melainkan Allah SWT. Iktibar daripada kisah Nabi Ibrahim AS mencabar Raja Namrud untuk menggunakan ‘iradah’ (kehendak) dan ‘qudrahnya’ (kuasa) bagi mengubah terbit matahari dari barat ke timur, namun ia tidak mampu, menunjukkan ia tiada sifat kehendak dan kuasa secara mutlak.

3.⁠ Al-Asma’ al-Husna Dikaitkan dengan Sifat 20

Al-Asma’ al-Husna yang berjumlah 99 atau lebih semuanya dapat dikaitkan dengan Sifat 20 contohnya al-Muhyi, al-Mumit, al-Qadir, al-Muqtadir, al-Qawiyy dan al-Matin boleh dikaitkan dengan sifat al-Qudrah yakni Tuhan Yang Maha Berkuasa. Menurut Sheikh Sa’id Fudah seperti yang dipetik oleh Ustaz Hidayat, kita tidak faham nama al-Musawwir (Maha Membentuk) melainkan setelah dijelaskan bahawa Allah mencipta al-suwar (bentuk-bentuk) yang berkaitan sifat al-Qudrah juga. Begitu juga dengan sifat-sifat Allah yang lain seperti reda dan murka yang merupakan sifat perbuatan boleh dikaitkan dengan sifat kehendak (al-Iradah) bagi Allah. Maka, al-Asma’ al-Husna dapat difahami dengan mudah jika seseorang itu memahami Sifat 20.

Jom infak RM10, untuk Gerak Kerja Media

Infak Studio

Setiap ringgit yang penginfak akan digunakan untuk tujuan mengembangkan dakwah Ustaz Wadi Annuar

4.⁠ Fokus Kepada Sifat untuk Mengenali Hakikat Allah SWT

Apabila seseorang itu ingin mengenali seseorang, antara perkara yang penting adalah sifat orang tersebut berbanding namanya. Ini kerana, kadang-kadang namanya Hasan (baik) tetapi sifatnya buruk. Justeru, fokus kepada sifat adalah lebih mudah untuk mengenali hakikat sesuatu perkara. Namun, fokus kepada nama-nama Allah SWT bukan bermaksud tidak penting, tetapi ia sebagaimana dijelaskan sebelum ini, nama-nama yang banyak itu boleh dikaitkan dengan 20 sifat Allah SWT tadi seperti yang dijelaskan pada nombor tiga. Setelah pelajari sifat 20, ia membantu untuk fahami nama-nama Allah SWT pula.

5.⁠ Sifat 20 Berasaskan Dalil yang Kukuh

20 sifat ini telah mengandungi dalil al-Quran, hadis dan akal yang sejahtera. Ia berdasarkan dalil-dalil muhkamat (induk/jelas) yang qat’i thubut (sabitnya pasti) dan qat’i al-dilalah (maknanya jelas) menjadi dasar akidah yang kukuh yang bukan daripada kategori mutashabihat (samar-samar/tidak jelas) yang berasaskan dalil zanni al-dilalah (maknanya tidak jelas).

Disebabkan itulah dalam silibus pengajian Sifat 20, tidak disenaraikan sifat-sifat mutashabihat seperti yad (tangan), istawa (duduk macam raja), nasiya (lupa), marid (sakit) dan seumpamanya. Ini kerana, meskipun ia disebut dalam al-Quran dan hadis tetapi ia bukanlah qat’i al-dilalah bahkan boleh menyebabkan umat Islam salah faham. Salah faham itu boleh berlaku jika mereka memahaminya secara makna zahir bagi lafaz tersebut.

Contohnya yad dalam bahasa Melayu bermaksud tangan, bagi orang awam akan terus faham ia adalah anggota badan yang dikenali sebagai tangan. Maka, jika disandarkan kepada Allah SWT, maka seolah-olah ada anggota badan tangan bagi-Nya meskipun disebut anggota tangan-Nya tidak sama dengan makhluk. Disebabkan itu, Ahli Sunnah wal Jamaah bertindak pantas mempertahankan akidah Islam menerusi dua kaedah iaitu kaedah tafwid dan kaedah takwil.

Berdasarkan kaedah tafwid yang dipilih oleh majoriti salaf soleh, yad tidak dimaksudkan dengan tangan, sebaliknya diserahkan maksudnya kepada Allah SWT dan kekalkan lafaz asalnya iaitu yad. Mereka melarang melakukan terjemahan secara harfiyyah atau literal bagi sifat mutashabihat. Manakala, menerusi kaedah takwil, yad difahami dengan makna qudrah iaitu berkuasa seperti yang dipilih oleh majoriti khalaf. Mereka terpaksa memilih maksud atau terjemahan ini disebabkan darurat. Jika tiada darurat, mereka akan kembali semula kepada kaedah tafwid tadi. Perlu difahami bahawa sama ada darurat atau tidak, salaf dan khalaf tidak akan memilih terjemahan literal iaitu tangan.

Apatah lagi Allah SWT jelas melarang fokus kepada ayat-ayat mutashabihat seperti firman-Nya dalam ayat 7 surah Ali ‘Imran. Cuba bayangkan, jika kanak-kanak hafal Sifat 20 versi mutashabihat, sudah pasti mereka akan keliru. Silibus Sifat 20 yang muhkamat ini merupakan benteng kukuh dalam akidah untuk menghadapi golongan menyeleweng, bidaah, ateis dan seumpamanya secara sistematik.

Kesimpulan

Memahami 20 sifat Allah SWT adalah asas penting dalam memperkukuhkan akidah umat Islam. Sifat-sifat ini memberikan gambaran yang lebih jelas tentang kebesaran dan kesempurnaan Allah SWT, sekaligus membantu kita untuk lebih dekat mengenali-Nya. Walaupun sifat-sifat Allah SWT sebenarnya tidak terhad kepada 20 sahaja, ulama telah merumuskan sifat-sifat ini sebagai satu panduan yang memudahkan kita untuk memahami aspek-aspek ketuhanan yang wajib ada pada Allah SWT. Oleh itu, mempelajari dan menghayati Sifat 20 adalah satu keperluan bagi setiap Muslim agar akidah kita sentiasa kukuh dan terpelihara daripada sebarang penyelewengan.

Wallahu A’lam.

Sumber: Dr. Mohd Hasrul bin Shuhari, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

SELEPAS BACA, SILA KONGSI. SEMOGA BERMANFAAT.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *