Doa merupakan satu ibadah dan tuntutan daripada Allah SWT. Takdir yang tertulis dalam Loh Mahfuz boleh berubah dengan sebab musabab seperti doa, sedekah, rawatan dan silaturahim. Allah SWT mengetahui setiap kemungkinan kerana ilmu-Nya meliputi segalanya. Oleh itu, meyakini bahawa doa boleh mengubah takdir adalah selari dengan akidah Islam.
Allah SWT menggalakkan hamba-Nya berdoa kepada-Nya. Ia merupakan tanda kehambaan, pengakuan lemah, dan penghinaan diri kepada Allah. Firman-Nya:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya: Dan Tuhanmu berkata: Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa kamu. (Surah Ghafir: 60)
Doa adalah lambang pengharapan dan tawakal kepada Allah, serta cara menunjukkan rasa tunduk kepada kekuasaan-Nya.
Doa tidak bermaksud menolak takdir, tetapi termasuk dalam sebab musabab yang boleh merubah sesuatu ketetapan Allah. Firman Allah:
يَمۡحُواْ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ وَيُثۡبِتُۖ وَعِندَهُۥٓ أُمُّ ٱلۡكِتَٰبِ
Maksudnya: Allah menghapuskan apa yang dikehendaki-Nya dan menetapkan (apa yang dikehendaki-Nya), dan di sisi-Nya terdapat Ummul Kitab. (Surah ar-Ra’d: 39)
Takdir yang tertulis di Loh Mahfuz boleh berubah melalui sebab-sebab yang syarie seperti berdoa, bersedekah, berubat dan menghubungkan silaturahim. Namun, ilmu Allah tetap meliputi segala yang berlaku sama ada sebelum atau selepas perubahan takdir.
لا يَرُدُّ القَضَاءَ إلَاّ الدُّعاءُ
Maksudnya: Tidak ada yang mampu menolak takdir melainkan doa. (Riwayat al-Tirmizi)
Hadis ini menunjukkan bahawa doa adalah satu faktor yang boleh mengubah sesuatu ketetapan. Namun ia tetap berada dalam pengetahuan dan kehendak Allah SWT.
Pengabulan doa bergantung kepada hikmah dan kehendak Allah. Kadang-kadang doa dimakbulkan segera, kadangkala ditangguhkan, atau digantikan dengan sesuatu yang lebih baik menurut ilmu Allah.
فَيَكۡشِفُ مَا تَدۡعُونَ إِلَيۡهِ إِن شَآءَ
Maksudnya: Lalu Dia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepada-Nya jika Dia kehendaki. (Surah al-An’am: 41)
Pengabulan doa tidak bersifat mutlak tetapi bergantung pada kehendak Allah sebagaimana firman-Nya:
ٱدۡعُونِيٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ
Maksudnya: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. (Surah Ghafir: 60)
Doa Umar al-Khattab RA:
"Ya Allah! Jika Engkau menulis kesusahan atau dosa ke atas diriku, maka hapuskanlah. Ini kerana Engkau menghapuskan dan menetapkan segala yang dikehendaki-Mu. Pada sisi-Mu terdapat Ummul Kitab. Jadikan ia kebahagiaan dan pengampunan."
Doa Ibn Mas’ud RA:
"Ya Allah! Jika Engkau menulis aku dalam kalangan orang yang sengsara, maka hapuskanlah dan jadikanlah aku termasuk dalam kalangan orang yang bahagia dan bermaaf-maafan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa menghapus dan menetapkan, dan di sisi-Mu Ummul Kitab."
Kesimpulannya, beriktikad bahawa doa boleh mengubah takdir adalah selari dengan ajaran Islam. Ia tidak bercanggah dengan akidah selagi mana diyakini perubahan itu berlaku atas kehendak dan ilmu Allah SWT. Bahkan, doa adalah antara amalan sunah yang disarankan oleh Nabi SAW dan diamalkan oleh para sahabat RA.
Wallahu a'lam.
SILA SEBARKAN SUPAYA RAMAI DAPAT MANFAAT