Penurunan al-Quran adalah peristiwa yang agung dalam sejarah tamadun manusia kerana detik merakamkan penganugerahan petunjuk dan panduan oleh Allah SWT kepada umat manusia hingga hari kiamat. Allah SWT mentakdirkan peristiwa ini berlaku pada bulan yang paling mulia iaitu bulan Ramadan al-Mubarak. Allah berfirman:
شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ
Maksudnya: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dan batil.” (Surah al-Baqarah:185)
Peristiwa ini berlaku pada 17 Ramadan di Gua Hira’ ketika Baginda Rasulullah SAW berumur 40 tahun. Pada masa yang sama, ia merakamkan detik pelantikan Muhammad bin Abdullah SAW sebagai seorang rasul yang membawa rahmat kepada sekalian alam.
Peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW dan penurunan Al-Quran saling melengkapi. Jika kita perhatikan, setelah selesai kesemua wahyu Al-Quran diturunkan, Rasulullah SAW diwafatkan. Hal ini menandakan misi kerasulan Baginda telah disempurnakan dengan Al-Quran. SubhanAllah.
Oleh itu, janganlah kita hanya melihat Al-Quran di rak-rak rumah sekadar sebuah kitab bacaan atau hafalan semata-mata. Sebaliknya naskhah tersebut adalah khazanah terbesar dalam simpanan hidup kita.
Jika orang bukan Islam pun mendapat manfaat dengan mengkaji Al-Quran dari aspek sains, ekonomi, politik, agropertanian, sejarah, geografi, fizik, astronomi, perubatan dan sebagainya, sepatutnya sebagai umat Islam kita mesti lebih menghargai kandungan Al-Quran.
Jika orang bukan Islam yang membaca Al-Quran boleh mendapat hidayah lalu memeluk Islam, sepatutnya iman kita semakin menebal setiap kali membaca kalam Allah SWT ini.
Dalam bulan Ramadan yang mulia ini, eloklah sekiranya kita perbanyakkan bacaan Al-Quran bagi merebut sebanyak mungkin pahala yang Allah SWT sediakan.
Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a., Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ، وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، لاَ أَقُولُ الْم حَرْفٌ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ
Maksudnya: “Siapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakan ألم itu satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (HR Tirmizi)
Semoga kita akan terus menjadi mukmin yang mencintai dan suka berdamping dengan Al-Quran, mudah-mudahan kita hidup dalam keadaan terpimpin dan dibimbing menuju redha Allah SWT.
Selain itu, al-Quran juga memimpin manusia kepada perdamaian, menolak pertelingkahan dan permusuhan sesama umat Islam sekaligus membawa kedamaian dalam menjadi kehidupan sebagai umat manusia di atas muka bumi ini. Allah berfirman dalam al-Quran:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Ulil Amri (pemerintah) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) Rasulnya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah al-Nisa’: 59)
Al-Quran juga menjadi penawar bagi yang ingin merawat dengannya. Ia adalah terapi bagi sakit-sakit tertentu terutama sekali kemurungan dan kegelisahan bagi orang yang mempercayainya. Allah berfirman dalam surah al-Isra’:
وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلۡقُرۡءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٞ وَرَحۡمَةٞ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ
Maksudnya: “Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya”. (Surah al Isra’: 82)
وَٱلۡكِتَٰبِ ٱلۡمُبِينِ إِنَّآ أَنزَلۡنَٰهُ فِي لَيۡلَةٖ مُّبَٰرَكَةٍۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ
Maksudnya: “Demi al-Quran kitab yang menerangkan kebenaran. Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat, sesungguhnya kami sentiasa memberi peringatan dan amaran”. (Surah al Dukhan:1-2)
Semoga kita semua beroleh keberkatan malam yang diturunkan al-Quran padanya.
SELEPAS BACA, SILA KONGSI. SEMOGA BERMANFAAT.