SUNGAI PETANI – Peserta negara, Muhammad Rifae’i Mat Zuki, 19, mengharumkan nama Malaysia apabila diumumkan Naib Johan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Beserta Pemahamannya Tahun 1446H, di Brunei minggu lalu.
Pengerusi Akademi Darul Ilmi (ADI), Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar berkata, pelajar ADI itu berentap bersama peserta dari negara anggota MABIMS terdiri daripada Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura yang bermula 13 hingga 18 Mac lalu.
Menurutnya, pencapaian itu menunjukkan keupayaan pelajar Malaysia berhadapan peserta lain sekali gus mencerminkan komitmen dan kesungguhan menghafaz serta memahami al-Quran dengan lebih mendalam. “Ia juga menunjukkan usaha berterusan Malaysia dalam memperkasa penghayatan dan penghafazan al-Quran di peringkat serantau. “Tidak hanya membuktikan bahawa Malaysia sebuah negara yang memartabatkan al-Quran namun turut membanggakan warga Akademi Darul Ilmi,” katanya kepada Sinar Harian.
Ustaz Wadi Annuar berkata, ADI berbangga dengan kejayaan Muhammad Rifae’i yang berjaya membawa nama akademi ke peringkat serantau. “Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus istiqamah dalam menghafaz dan menghayati kitab suci ini. “Kita doakan agar Muhammad Rifae’i terus istiqamah dalam memartabatkan al-Quran ke persada yang lebih tinggi,” jelasnya.
Dalam pertandingan itu, Muhammad Rifae’i diumumkan naib johan bagi kategori hafazan 30 juzuk beserta pemahaman Surah Al-Hujurat dengan memperoleh markah 94.93 peratus. Lebih bermakna, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah dan cenderamata kepada semua peserta.
Sebelum ini, Muhammad Rifae’i merupakan Johan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) (kategori 1-30 juzuk) Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi.
Sumber: www.sinarharian.com.my
SELEPAS BACA, SILA KONGSI. SEMOGA BERMANFAAT.