Setiap Muslim pasti akan berhadapan dengan saat paling kritikal dalam kehidupan iaitu saat sakaratul maut. Ketika ini, bukan sahaja tubuh menjadi lemah, tetapi jiwa juga diuji dengan begitu hebat. Pada detik inilah keimanan yang selama ini dipertahankan menjadi taruhan terakhir. Iblis, musuh utama manusia, tidak akan pernah melepaskan peluang ini untuk meragut keyakinan kita kepada Allah.
Ini adalah ujian yang tidak hanya menyentuh aspek fizikal, tetapi yang lebih mencabar ialah peperangan spiritual. Di sinilah kekuatan iman menjadi benteng terakhir bagi setiap hamba Allah yang menginginkan husnul khatimah.
Imam al-Ghazali pernah mengingatkan bahawa iblis akan menggunakan segala tipu daya untuk menyesatkan manusia pada saat-saat terakhir hidupnya. Dalam detik yang genting ini, iblis berusaha memanfaatkan kelemahan manusia untuk menggoncang keyakinannya kepada Allah.
Dalam kitab-kitab tasawuf, diceritakan bahawa iblis sering membisikkan was-was yang penuh tipu daya. Antaranya, iblis akan menanam keraguan tentang keesaan Allah, penciptaan alam semesta dan hakikat Tuhan. Soalan-soalan yang tidak terjawab ini diharapkan dapat menggoyahkan akidah seseorang.
Menghadapi ujian ini memerlukan persediaan yang rapi sejak awal kehidupan. Ilmu tentang akidah dan keyakinan kepada Allah menjadi perisai utama. Ilmu yang dimaksudkan bukan sekadar teori, tetapi pemahaman yang mendalam serta keyakinan yang tidak berbelah bahagi.
Amalan harian seperti solat, membaca al-Quran, berzikir dan doa adalah latihan rohani yang menguatkan hubungan kita dengan Allah. Dengan istiqamah dalam ibadah, jiwa akan menjadi lebih teguh menghadapi tipu daya syaitan.
Begitu juga dengan mempelajari ilmu tauhid seperti pengajian Sifat 20 akan menjadi benteng untuk mempertahankan keyakinan kita kepada Allah.
Rasulullah SAW turut menganjurkan agar kita sentiasa membaca doa ini:
Ujian ketika sakaratul maut adalah cabaran yang paling getir buat setiap Muslim. Namun, dengan keimanan yang kukuh, insyaAllah, kita mampu menghadapinya dengan penuh ketenangan. Persediaan awal melalui ilmu, amal soleh dan doa adalah kunci untuk meraih husnul khatimah.
Semoga Allah SWT melindungi kita daripada tipu daya iblis dan mengurniakan kita kekuatan untuk menghadapi detik akhir kehidupan ini dengan hati yang reda dan jiwa yang tenang.
اللَّهُمَّ اجْعَلْ آخِرَ كَلَامِنَا لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاخْتِمْ لَنَا بِالْحُسْنَى يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
SILA SEBARKAN SUPAYA RAMAI DAPAT MANFAAT