Kubur Harum Tanda Kemuliaan

Rahsia di Sebalik Kubur Wangi: Tanda Husnul Khatimah?

Kematian bukan sekadar penutup usia, tetapi detik permulaan kepada alam yang kekal abadi. Di sebalik sekujur tubuh yang dibalut kain putih, tersimpan rahsia kehidupan seseorang. Adakah ia meninggalkan dunia dalam keadaan dimuliakan atau sebaliknya?

Dalam masyarakat kita, kisah mengenai kubur yang mengeluarkan bau wangi sering dianggap pelik, ganjil, malah dituduh sebagai khurafat. Namun, benarkah begitu? Dalam sejarah Islam, terdapat pelbagai kisah orang soleh yang meninggal dalam keadaan sangat mulia, dengan jenazah mereka menebarkan keharuman, wajah berseri-seri dan kubur menjadi saksi kemuliaan hidup mereka.

"Perbezaan antara kami (Imam Ahmad) dan kamu (mubtadi' sesat) ialah pada hari kematian." - Imam Ahmad bin Hanbal

Menariknya pada hari kematiannya, ratusan ribu orang datang, bahkan sebahagian riwayat menyebutkan sehingga 2.5 juta orang menziarahi dan solat jenazah. Ini menunjukkan kemuliaan Imam Ahmad yang tidak dapat dinafikan.

Demikian kematian ulama terkenal, namun ada juga orang yang mulia, tetapi asalnya tidak dikenali ramai. Hanya Allah mengangkat sesiapa yang dikehendaki-Nya.

"Sesiapa yang merendah diri kepada Allah, Allah pasti mengangkat darjatnya." (HR al-Bayhaqi)

Nabi SAW pernah bersabda, apabila Allah mencintai seseorang daripada hamba-Nya, maka seluruh penduduk langit dan bumi akan disuruh untuk mencintainya.

"Apabila Allah mencintai seorang hamba, Allah menyeru kepada Jibril, 'Sesungguhnya Allah menyukai seorang fulan, maka kamu cintailah dia.' ... Lalu diletakkan baginya penerimaan dalam kalangan ahli dunia." (HR al-Bukhari)

Kubur yang mengeluarkan bau wangi

Antara yang dikisahkan berlaku kepada Abdullah bin Ghalib, beliau seperti yang dinukilkan oleh Imam Abu Nu'aym adalah seorang yang tekun beribadah, menangis kerana takutkan Allah dan sentiasa mencari reda-Nya. Kuburnya mengeluarkan bau kasturi.

"...Didapati daripada kuburnya bau kasturi." (Hilyah al-Awliya', 6/225)

Kisah seperti ini turut disebut oleh anak Al-Allamah Maulana Muhammad Musa al-Ruhani al-Bazi al-Hasani al-Husaini. Bahkan Imam al-Ramli menyebutkan:

"Jika si pemandi jenazah melihat sesuatu yang baik... disunatkan untuk menyebutkannya agar lebih mendorong ramai orang mensolatkan jenazah dan mendoakannya." (Nihayat al-Muhtaj, 3/21)

Tanda Husnul Khatimah Berdasarkan Hadis

Berikut adalah tanda-tanda kematian yang baik disebut dalam hadis Nabi SAW:

  • Mati lemas, jatuh bangunan dan syahid di jalan Allah (HR al-Bukhari)
  • Berasa gembira bertemu Allah SWT (HR Muslim)
  • Meninggal dunia disebabkan penyakit perut (HR Muslim)
  • Meninggal ketika mempertahankan harta dan maruah (HR Muslim)
  • Mengucap kalimah syahadah sebelum meninggal (HR Abu Daud)
  • Meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat (HR al-Tirmidzi)
  • Berpeluh di dahi ketika meninggal dunia (HR al-Tirmidzi)
  • Dianugerahkan taufik untuk beramal soleh sebelum meninggal (HR al-Tirmidzi)
  • Meninggal ketika melakukan amal soleh (HR Ahmad)

Tanda husnul khatimah ini bukan hanya untuk dikenang, tetapi dijadikan panduan agar kita sentiasa bersiap sedia menghadapi saat kembali kepada Allah SWT.

Penulis: Pengurus Pusat Kajian Syariah Darul Fitri
Rujukan artikel asal: hmetro.com.my

SILA SEBARKAN SUPAYA RAMAI DAPAT MANFAAT

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp