Ustaz Wadi Annuar

Ustaz Wadi Annuar

CEO Dakwah Global Sdn. Bhd.

Share:

Sekitar Istilah Salaf dan Khalaf

Dalam bidang ilmu agama, kemunculan golongan yang mengaku lebih memahami manhaj salaf berbanding para ulama’ sebelum mereka, yang mereka gelar sebagai “khalaf”, menjadi satu fenomena. Mereka ini menamakan diri mereka sebagai “salafi”, iaitu orang yang mengikut jejak salaf, untuk menunjukkan kelayakan mereka dalam memahami siapa sebenarnya salaf dan apa manhaj salaf yang sebenar.

Kejahilan Terhadap Istilah

Golongan intelektual separuh matang dalam lapangan intelektual Islam sering mencipta terminologi-terminologi (mustalahat) baru untuk mengabui golongan yang lebih jahil daripada mereka. Mereka menggunakan istilah tertentu dengan takrif baru yang menyalahi penggunaannya yang asal, dengan tujuan untuk mendominasi dan memonopoli istilah tersebut.

Maka, wujudlah terminologi seperti “salafi” dan “khalafi”, yang sebelumnya para ulama’ hanya menggunakan istilah khalaf dan salaf sahaja.

1.⁠ ⁠Salafi di sisi golongan (baharu)

•⁠ Orang yang mengikut manhaj salaf

2.⁠ ⁠Khalafi di sisi golongan (baharu)

•⁠ Orang yang tidak mengikut manhaj salaf

Penggunaan Asal Istilah Salaf dan Khalaf

Padahal, istilah salaf dan khalaf yang digunakan oleh para ulama’ secara sepakat sebelum kemunculan golongan ini adalah:

1.⁠ ⁠Salafi

•⁠ Generasi yang hidup dalam kurun pertama sehingga kurun ketiga hijrah, atau sehingga kurun kelima hijrah. Paling kuat adalah sehingga kurun ketiga hijrah.

2.⁠ ⁠Khalafi

•⁠ Generasi yang hidup setelah kurun ketiga atau kelima hijrah

Istilah salaf dan khalaf dalam penggunaan asal para ulama’ tidak pernah bermaksud suatu perbezaan manhaj, tetapi lebih berbentuk perbezaan tempoh masa. Sehinggalah muncul golongan yang mengaku sebagai salafi ini, yang meneruskan semangat Ibn Taimiyyah yang sering mengaku lebih memahami salaf berbanding ulama’-ulama’ lain sebelumnya atau sezaman dengannya, khususnya dari kalangan Asya’irah yang dianggap kurang memahami manhaj salaf.

Dengan usaha ini, mereka mencetuskan perkembangan di mana golongan ulama’ yang berlainan kefahaman dianggap sebagai tidak mengikut salaf, walaupun para ulama’ tersebut adalah majoriti ulama’ Islam. Bagi mereka, tokoh-tokoh yang memahami “salaf” yang sebenar hanyalah beberapa individu sahaja seperti Sheikh Ibn Taimiyyah, Sheikh Ibn Al-Qayyim, Sheikh Muhammad Abdul Wahab, dan sebagainya. Sedangkan, majoriti ulama’ lain yang beraliran Asya’irah dan Maturidiyyah dalam bidang aqidah adalah “khalafi” yang tidak mengikut mazhab dan manhaj Salaf yang sebenar.

Jom bantu Gerak Kerja Media

Infak Gerak Kerja Dakwah

Setiap ringgit yang penginfak akan digunakan untuk tujuan mengembangkan dakwah Ustaz Wadi Annuar

Contoh-contoh Kepincangan

Sebagai contoh, situasi di mana seorang pekerja kilang mengaku lebih memahami salaf berbanding Hujjatul Islam, Al-Imam, Al-Mujtahid, Al-Faqih, Al-Usuli Sheikh An-Nizhamiyyah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali, atau seorang yang tidak mengenal beza antara mubtada’ dengan khabar, mengaku lebih mengikut Al-Qur’an dan As-Sunnah dalam masalah aqidah berbanding Al-Imam Al-Hafiz Al-Muhaddith Amirul Mu’minin fi Al-Hadith Ibn Hajar Al-Asqollani. Begitu juga dengan seorang insan yang tidak memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah melainkan dengan merujuk terjemahan semata-mata, mengaku lebih memahami sunnah dan bid’ah berbanding Al-Imam Al-Mujtahid Al-Mutlaq, Al-Hujjah, Imamul Mazhab, Muhammad bin Idris As-Syafi’e, dan menuduh amalan doa qunut pada waktu Subuh yang diamalkan oleh Imam As-Syafi’e sebagai suatu bid’ah.

Khalaf adalah Penerus Manhaj Salaf

Perlu diketahui bahawa “Khalaf” adalah para ulama’ yang hidup setelah berlalunya zaman salaf dan meneruskan manhaj umum para ulama’ salaf. Khalaf tidak pernah bererti golongan ulama’ yang berbeza dengan ulama’-ulama’ salaf dari sudut aqidah, manhaj fiqh, dan akhlak.

Definisi Salaf dan Khalaf

Istilah salaf sendiri bermaksud:

سَلَفَ يَسْلُفُ سَلَفاً وسُلُوفاً: تقدَّم

Maksudnya: Salaf: Taqaddam iaitu terdahulu. [Lisan Al-‘Arab, madah salafa]

والسَّلَفُ والسَّلِيفُ والسُّلْفَةُ: الجماعَةُ المتقدمون

Maksudnya: “As-Salaf, As-Salif dan As-Sulfah: Golongan Terdahulu [ibid]

Seseorang yang mengaku sebagai “salafi” secara bahasanya bermaksud orang yang terdahulu. Oleh kerana itulah para ulama’ salaf tidak menyebut diri mereka sebagai “salafi” ketika mereka hidup. 

Khalaf pula bererti generasi yang ditinggalkan setelah generasi terdahulu, dari perkataan khalafa yang bermaksud ke belakang atau kemudian.

الخَلْفُ ضدّ قُدّام

Maksudnya: Khalfu adalah lawan bagi Quddam (hadapan) [Lisan Al-‘Arab, madah: khalafa]

Seseorang itu tidak dinamakan sebagai khalaf melainkan dia penerus kepada apa yang dilakukan oleh orang terdahulu. Maka, para ulama’ khalaf dinamakan sebagai khalaf kerana mereka meneruskan apa yang dipegang oleh ulama’ salaf.

⁠Pengiktirafan Rasulullah

•⁠ Rasulullah s.a.w. sendiri memuji generasi khalaf ini yang meneruskan usaha menjaga kemurnian agama daripada golongan jahil dan batil:

يحمل هذا العلم من كل خلف عدوله، ينفون عنه تحريف الغالين، وانتحال المبطلين، وتأويل الجاهلين

Maksudnya: “Ilmu ini akan dipikul oleh setiap khalaf (orang yang kemudian) dari kalangan yang adil daripadanya, yang menafikan tahrif (penyelewengan) pelampau, kepincangan golongan pembuat kebatilan dan takwilan orang-orang jahil”.

[Hadith diriwayatkan secara mursal dalam sebahagian riwayat (Misykat Al-Mashabih) dan disambung secara sanadnya kepada sahabat kepada Rasulullah s.a.w. oleh Al-Imam Al-‘Ala’ie. As-Safarini mengatakan ianya sahih dalam kitab Al-Qaul Al-‘Ali m/s: 227]

⁠Ulama’ Khalaf adalah “Salaf” Pada Generasi Setelah Zaman Salaf

Kita perlu menyedari hakikat ini melalui sejarah dan tulisan ulama’ bahawa majoriti ulama’ khalaf sebenarnya adalah penerus manhaj dan kefahaman ulama’ salaf. Nama-nama seperti Asya’irah, Maturidiyyah dalam bidang aqidah adalah tradisi yang sama seperti nama-nama Syafi’iyyah, Malikiiyyah, Ahnaf dan Hanabilah dalam bidang fiqh. Ia adalah himpunan manhaj seragam dan perkembangan kaedah pendalilan dalam sesuatu bidang ilmu, bukan percanggahan daripada apa yang difahami oleh salaf. Bahkan, mengaku “Salafi” juga adalah kelainan daripada salaf itu sendiri.

Oleh sebab itu, ramai tokoh Asya’irah dalam bidang aqidah menulis kitab-kitab aqidah lalu menisbahkan aqidah mereka kepada as-salaf as-sholeh. Antaranya adalah:

⁠Al-Imam Al-Hafiz Ahmad bin Al-Husain Al-Baihaqi Al-Asy’ari yang menulis kitab berjudul:

الاعتقاد علي مذهب السلف اهل السنه و الجماعه

(Al-I’tiqad ‘ala Mazhab As-Salaf Ahl As-Sunnah wal Jamaah)

Begitu juga Al-Imam Abu Hamid Al-Ghazali yang menulis kitab: 

Iljam Al-Awam ‘An Ilm Al-Kalam

Dalam kitab tersebut, beliau menjelaskan manhaj sebenar salaf dalam berinteraksi dengan ayat-ayat dan hadith-hadith mutasyabihat dengan cara tafwidh. Beliau menisbahkan manhaj ini kepada manhaj As-Salaf As-Sholeh.

Mengaku “Salafi” Adalah Bid’ah yang Bahaya

Kesimpulan oleh tokoh besar Sheikh Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti dalam kitab As-Salafiyyah menyatakan bahawa bermazhab dengan mazhab salafi adalah bid’ah:

 

إن كلمة (السلفية) هي مصطلح حادث لا بدعة. وكل حادثة بدعة

Maksudnya: “Sesungguhnya kalimah Salafiyyah itu adalah satu istilah baru yang diada-adakan, yang tidak diragukan lagi adalah bid’ah. Setiap yang diada-adakan adalah bid’ah”. [As-Salafiyyah, m/s: 16]

Maka, mengaku lebih faham salaf dalam sesuatu perkara yang majoriti ulama’ sepakat menyalahinya sebenarnya adalah satu fenomena bid’ah yang sangat bahaya kerana orang-orang yang tidak memahami hakikat ini sering terkeliru.

Kesimpulan

Justeru, kita perlu memahami hakikat istilah yang sebenar dan mengkaji kembali tulisan para ulama’ terdahulu dan majoriti ulama’ Islam dalam mengenali apa yang dimaksudkan dengan salaf dan khalaf.

Wallahu A’lam.

Sumber: Ustaz Raja Ahmad Mukhlis

SELEPAS BACA, SILA KONGSI. SEMOGA BERMANFAAT.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *