Ketika negara bukan Islam lantang menzahirkan protes, dunia Islam masih lemah menonjolkan keprihatinan terhadap penderitaan saudara seagama.
Anak kecil, wanita, masjid, hospital dan sekolah terus menjadi mangsa, manakala ribuan manusia tidak berdosa menanggung derita tanpa makanan dan ubat sehingga meninggal di tanah air sendiri.
Hadis ini mengingatkan bahawa setiap mukmin tidak boleh membiarkan saudara mukmin lain menderita tanpa membantu. Diam ketika saudara menderita menunjukkan lemahnya tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim.
Malangnya, masih ada segelintir rakyat Malaysia yang memperlekeh usaha kemanusiaan, termasuk misi Global Sumud Flotilla, seolah-olah perjuangan membela maruah manusia itu sia-sia. Sedangkan di sisi Allah, sekecil apa pun usaha menentang kezaliman tetap bernilai besar.
Hari ini, masyarakat di negara bukan Islam pula yang lantang menentang penindasan di Gaza. Mereka sanggup berhimpun, berkorban kerja dan serius memboikot produk yang menyokong kezaliman, semuanya didorong oleh hati yang hidup dengan rasa empati kemanusiaan.
Sedangkan di pihak kita, masih ada segelintir umat Islam yang tanpa rasa bersalah menayangkan pembelian produk dalam senarai boikot, seolah-olah tidak peduli pada nasib saudara sendiri. Dalam keadaan umat sedang diuji, sikap ini bukan sahaja tidak sensitif, malah boleh melemahkan semangat perjuangan orang lain.
Bersuara menentang kezaliman adalah tanda iman yang hidup, kerana hati mukmin tidak akan tenang melihat penderitaan orang lain. Dalam dunia hari ini, bersuara tidak semestinya hadir di jalanan, tetapi kita boleh bersuara melalui doa, sedekah, tulisan dan perkongsian kebenaran.
Kita tidak perlu menuding jari kepada mereka yang masih diam. Setiap insan ada ujian dan keadaan yang berbeza. Namun diam terlalu lama terhadap kezaliman boleh mematikan rasa tanggungjawab terhadap umat. Seruan ini bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi untuk menyedarkan hati agar kita tidak terbiasa dengan penderitaan saudara sendiri.
Setiap suara membawa nilai. Bila ramai bersuara, ia menjadi gelombang kebenaran yang sukar dihalang. Misi kemanusiaan seperti Global Sumud Flotilla bukan sekadar menghantar bantuan, tetapi membawa mesej besar iaitu “Break the Siege, Break the Silence.” Ia simbol perjuangan menembusi kepungan dan memecahkan kebisuan dunia terhadap penderitaan rakyat Gaza.
Semoga Allah membangkitkan dalam diri kita semangat dan tanggungjawab terhadap saudara seagama.
Kerana jika bukan kita yang bersuara, siapa lagi? Dan jika bukan sekarang, bila lagi?
SILA SEBARKAN SUPAYA RAMAI DAPAT MANFAAT