Beramal dengan hadis daif telah menjadi topik perbincangan dalam kalangan ulama sejak zaman dahulu. Berdasarkan pandangan Imam al-Nawawi (wafat 676H) dalam kitab al-Azkar, beliau menyatakan: “Para ulama dari kalangan muhaddithin, fuqaha dan lainnya sepakat bahawa beramal dalam fadha’il dan al-targhib wa al-tarhib (galakan dan ancaman) dengan hadis daif adalah harus dan mustahab, selagi hadis tersebut tidak palsu.”
Ini bermaksud, penggunaan hadis daif adalah terhad kepada fadha’il dan al-targhib wa al-tarhib, bukan untuk bab akidah dan hukum syarak secara mutlak.
Tiga Syarat Beramal Dengan Hadis Daif
Ulama hadis muta’akhkhirin telah menetapkan tiga syarat untuk beramal dengan hadis daif. Al-Hafiz al-Sakhawi (wafat 902H) dalam kitab al-Qawl al-Badi’ menyatakan: “Guru kami, al-Hafiz Ibnu Hajar, sering kali menyebut dan menuliskan kepada saya bahawa syarat-syarat beramal dengan hadis daif adalah tiga:
1. Kedaifannya Tidak Berat
• Hadis tersebut tidak terlalu lemah. Maka, hadis yang diriwayatkan oleh perawi pendusta, perawi yang dituduh berdusta, atau perawi yang sering melakukan kesilapan berat dikecualikan.
2. Dasar Umum
• Hadis tersebut harus termasuk dalam dasar umum yang diakui (al-Quran, hadis, ijmak, dan sebagainya). Hadis yang direka-reka, yang tidak mempunyai dasar sama sekali, dikecualikan.
3. Tidak Mengiktikadkan Kepastian
• Tidak meyakini bahawa hadis tersebut pasti datang daripada Nabi ﷺ ketika beramal dengannya, agar tidak menyandarkan kepada Nabi ﷺ apa yang Baginda tidak katakan.
Jom bantu Gerak Kerja Media
Infak Gerak Kerja Dakwah
Setiap ringgit yang penginfak akan digunakan untuk tujuan mengembangkan dakwah Ustaz Wadi Annuar
Huraian Syarat-Syarat
1. Kedaifannya Tidak Berat
• Syarat ini kadang-kadang difahami bahawa semua hadis yang sangat daif termasuk, meskipun hadis tersebut mempunyai mutaba’at (riwayat sokongan), syawahid (hadis sokongan), atau qara’in (bukti sokongan). Sebenarnya, hadis yang sangat daif tetapi mempunyai sokongan tersebut masih terbuka kepada pertimbangan dan perbezaan pendapat.
2. Dasar Umum
• Syarat ini sering difahami bahawa hadis daif mesti merujuk kepada hadis sahih juga. Sedangkan, al-Hafiz Ibnu Hajar hanya menyebut ‘suatu usul umum’ yang merangkumi al-Quran, ijmak, qiyas dan lainnya. Syarat ini menggabungkan manhaj muhaddithin dan manhaj fuqaha. Manhaj muhaddithin memberi fokus kepada mutaba’at dan syawahid yang menyokong sesuatu hadis, manakala manhaj fuqaha mengambil kira qara’in yang menyokong hadis tersebut.
• Selain al-Quran, ijmak dan qiyas, qara’in juga termasuk ‘amal mutawarath (amalan yang diwarisi daripada Salaf), amalan ahli Madinah, qaul as-sahabi (kata-kata sahabat RA), ma talaqqatuha al-ummah bil-qabul (perkara yang diterima umat Islam tanpa bantahan) dan lain-lain.
3. Tidak Mengiktikadkan Kepastian
• Syarat ini sering difahami bahawa hadis daif tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi ﷺ. Namun, maksud sebenar adalah tidak boleh dinisbahkan secara jazam (pasti), tetapi boleh dinisbahkan secara tamridh (tidak pasti), seperti “diriwayatkan daripada Nabi ﷺ” atau seumpamanya.
Sumber: Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis dan Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)
SELEPAS BACA, SILA KONGSI. SEMOGA BERMANFAAT.