Dalam kehidupan seorang Muslim, majlis atau perhimpunan merupakan satu bahagian penting yang sering diadakan, sama ada dalam bentuk wacana ilmiah, majlis zikir, pertemuan keluarga atau majlis kenduri.
Namun, sebagai seorang Muslim, kita bukan sahaja perlu hadir dalam majlis, tetapi juga memastikan kita menjaga adab-adab yang telah diajarkan oleh Islam. Adab-adab ini bukan sahaja melambangkan akhlak yang mulia tetapi juga merupakan manifestasi daripada penghayatan iman yang mendalam.
1. Niat yang Ikhlas
Sebelum menghadiri mana-mana majlis, penting bagi setiap Muslim untuk membetulkan niat. Niatkan kehadiran kita untuk mencari ilmu, beribadah kepada Allah ﷻ, atau mempereratkan silaturrahim. Dengan niat yang ikhlas, setiap langkah kita ke majlis itu akan diberi ganjaran oleh Allah ﷻ.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat dan sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang diniatkannya.” (HR Bukhari Muslim)
2. Memelihara Lisan
Salah satu adab yang paling utama dalam majlis adalah menjaga lisan dan tidak meninggikan suara.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah ia berkata yang baik atau diam.” (HR Bukhari Muslim)
Lisan adalah cermin akhlak seseorang. Oleh itu, ketika dalam majlis, hindarilah berbicara tentang perkara yang menyakitkan hati tuan rumah dan peserta majlis, mengumpat apatah lagi mengeluarkan kata-kata yang boleh menimbulkan fitnah dan ketegangan. Sebaliknya, berbicaralah tentang perkara yang bermanfaat, memberi nasihat yang baik dan penuh adab dan mengingatkan sesama Muslim tentang kebaikan.
3. Menghormati Orang Lain
Dalam setiap majlis, menghormati orang lain adalah satu keperluan. Ini termasuk memberi salam apabila masuk ke dalam majlis, tidak memotong percakapan orang lain dan memberikan tempat duduk kepada orang yang lebih tua atau lebih memerlukan.
Allah ﷻ berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: ‘Berlapang-lapanglah dalam majlis,’ maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu.” (Surah Al-Mujadilah:11)
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Bukanlah daripada kalangan kami orang yang tidak menyayangi orang yang lebih muda daripada kami dan menghormati orang yang lebih berusia daripada kami.” (HR al-Tirmizi)
Kita menyayangi orang yang lebih muda daripada kita serta menghormati orang yang lebih berusia daripada kita menunjukkan kerendahan hati dan akhlak yang mulia, yang sangat dianjurkan dalam Islam.
Jom infak RM10, untuk Gerak Kerja Media
Infak Studio
Setiap ringgit yang penginfak akan digunakan untuk tujuan mengembangkan dakwah Ustaz Wadi Annuar
4. Menghadiri Majlis dengan Pakaian yang Sopan
Islam sangat menitikberatkan tentang cara berpakaian, terutamanya ketika menghadiri majlis. Pakaian yang sopan, menutup aurat dan tidak berlebihan dalam berhias bukan sahaja menunjukkan rasa hormat kepada tuan rumah dan peserta majlis, tetapi juga kepada diri sendiri sebagai seorang Muslim.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, cenderung kepada kemaksiatan dan membuat orang lain cenderung kepada kemaksiatan. (HR Muslim)
Pakaian yang kemas dan menutup aurat mencerminkan iman dan kebersihan hati seseorang. Elakkan berpakaian yang mengundang kepada kemaksiatan.
5. Tidak Menguasai Majlis
Sebagai tetamu atau peserta majlis, kita harus elakkan daripada menguasai majlis dengan bercakap terlalu banyak atau memonopoli perbincangan. Berikan peluang kepada orang lain untuk berbicara dan memberi pandangan. Sikap sederhana dalam berbicara dan bersikap rendah diri adalah cerminan penghayatan iman yang sebenar.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku agar kamu bersikap tawaduk (merendah diri). Supaya tidak ada seorang pun yang menzalimi yang lain dan tidak ada seorang pun yang bersikap sombong dan angkuh terhadap yang lain.” (HR Muslim)
6. Menjaga Keharmonian dan Menghindari Pertelingkahan
Majlis adalah tempat untuk berkongsi ilmu, mengingati Allah dan mempererat hubungan sesuai dengan tujuan setiap aturcara. Oleh itu, adalah penting untuk mengelakkan sebarang pertelingkahan atau perbalahan yang boleh merosakkan suasana majlis. Jika berlaku perbezaan pendapat, hadapilah dengan tenang dan bijaksana serta cuba mencari jalan penyelesaian yang baik.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Tidaklah suatu kaum itu tersesat setelah mereka berada di atas hidayah melainkan orang yang suka berdebat”. (HR al-Tirmizi)
Telah berkata al-Qadhi, yang dimaksudkan daripada hadis ini adalah orang yang taksub dalam mempromosikan mazhab yang tidak diterima atau akidah yang sesat bukannya berdebat untuk menzahirkan kebenaran, menyingkap keadaan, menyatakan perkara yang tidak diketahui atau mengajar kepada orang lain berdasarkan apa yang dimilikinya kerana ini semua adalah fardu kifayah dan di luar konteks hadis. (Faidh al-Qadir)
7. Mengakhiri Majlis dengan Doa
Mengakhiri majlis dengan doa adalah amalan yang sangat dianjurkan. Doa ini bukan sahaja bertujuan untuk memohon keberkatan, tetapi juga sebagai tanda syukur kepada Allah ﷻ atas nikmat dapat menghadiri majlis tersebut. Rasulullah ﷺ mengajarkan kita untuk membaca doa berikut selepas majlis:
“Subhanakallahumma wa bihamdika, asyhadu an laa ilaaha illaa Anta, astaghfiruka wa atuubu ilaik.”
Maksudnya: “Maha Suci Engkau, ya Allah, dan dengan segala pujian untuk-Mu, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Engkau, aku memohon ampun dan bertaubat kepada-Mu.” (HR Abu Dawud)
Kesimpulan
Adab di dalam majlis adalah cerminan penghayatan iman seseorang Muslim. Dengan menjaga adab-adab ini, bukan sahaja kita memuliakan diri kita sendiri, tetapi juga kita memuliakan orang lain dan mendapatkan keredaan Allah ﷻ. Oleh itu, marilah kita sama-sama mengamalkan adab-adab yang mulia ini dalam setiap majlis yang kita hadiri, agar iman kita terus kukuh dan hubungan kita dengan Allah ﷻ semakin erat.
Wallahu A’lam.
SELEPAS BACA, SILA KONGSI. SEMOGA BERMANFAAT.