Kedatangan 1 Muharam menandakan pertukaran tahun dalam kalendar Islam. Hijrah yang sebenar ialah perubahan diri daripada kelalaian kepada ketaatan, daripada maksiat kepada taubat dan daripada kehidupan yang jauh kepada kehidupan yang lebih dekat dengan Allah SWT.

Namun, hijrah tidak semestinya bermula dengan perubahan yang besar dan berat. Ramai yang terlalu bersemangat pada awalnya, lalu menetapkan terlalu banyak sasaran dalam satu masa. Apabila tidak mampu bertahan, semuanya ditinggalkan lalu kembali ke takuk lama.

Ketahuilah bahawa hijrah yang terbaik adalah yang bermula dengan langkah yang kecil, namun dilakukan secara berterusan (istiqamah). Rasulullah ﷺ bersabda:

أَحَبُّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ
“Amalan yang paling dicintai Allah ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Mulakan dengan bertaubat dan merasai keinsafan. Kemudian menjaga solat lima waktu dan berusaha menunaikannya pada awal waktu. Jika belum mampu membaca al-Quran dengan banyak, bacalah satu halaman atau beberapa ayat setiap hari. Sedikit tetapi berterusan akan membentuk kebiasaan yang baik.

Hijrah juga boleh dimulakan dengan meninggalkan satu maksiat yang sering dilakukan. Mungkin suka mengumpat, mencarut, melengah-lengahkan solat atau menulis komen yang menyakiti orang lain. Jangan menunggu diri menjadi sempurna untuk berubah. Tinggalkan satu demi satu kerana Allah.

Perbaiki juga cara bercakap. Lidah dan tulisan di media sosial perlu dijaga daripada hinaan, makian dan kata-kata kasar. Kadangkala perubahan yang paling besar bermula daripada belajar diam ketika marah dan memilih perkataan yang lebih baik.
Istiqamah bukan bermaksud seseorang tidak pernah tersalah. Jika terjatuh, bangun semula. Jika terlepas amalan, sambung kembali. Jika berdosa, segera bertaubat dan jangan berputus asa.

Jadikan 1 Muharam sebagai titik permulaan, bukan hanya tarikh yang diraikan. Mulakan dengan satu langkah kecil, lakukan dengan ikhlas dan teruskan walaupun sedikit. Hijrah bukan dinilai pada sehebat mana kita bermula, tetapi pada kesungguhan untuk terus berjalan menuju Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *