Al-Arqam merupakan satu kumpulan atau gerakan dakwah atas nama agama Islam untuk menyedarkan umat Islam atau memberikan penghayatan Islam secara holistik. Ia mula diasaskan oleh Asaari bin Muhammad bersama beberapa orang sahabatnya pada tahun 1968 di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Pada ketika itu ia dinamakan dengan Kumpulan Rumah Putih.

Setelah itu, kumpulan Rumah Putih ini bertukar nama kepada Darul Arqam. Asaari Muhammad atau dikenali Abuya mengetuai kumpulan dengan menjadikan Aurad Muhammadiah sebagai tunjang amalan kumpulan. Dan ia tersebar luas sehingga menarik perhatian media massa. Hal ini kerana Darul Arqam pada ketika terkehadapan dalam penjanaan eknomi kumpulan mereka sendiri.

Kontroversi mula tersebar apabila Asaari bin Muhammad mengatakan gurunya Syeikh Muhammad bin Abdullah al-Suhaimi yang telah meninggal dunia pada tahun 1925 itu akan hidup semula dan menjadi Imam Mahdi pada akhir zaman. Menariknya, Syeikh Muhammad merupakan individu yang bertanggungjawab membawa Aurad Muhammadiah yang diamalkan oleh Asaari.

Rentetan itu, pada tahun 1994 jawatankuasa fatwa negeri-negeri telah memutuskan bahawa fahaman Aurad Muhammadiah pegangan kumpulan Darul Arqam yang terkandung di dalam dua buah buku iaitu yang bertajuk “Aurad Muhammadiah Pegangan Dar Al-Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan” dan buku “Manaqib (riwayat hidup) Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi” adalah bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.

Setelah itu, beliau juga ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kemudiannya dibebaskan dari tahanan tapi masih dikenakan tahanan rumah lalu meninggal dunia pada tahun 2010. Dan ia bergerak kembali dengan nama lain seperti Rufaqa dan Global Ikhwan (GISBH).

Tular kini berkaitan Mufti Negeri Pahang, Sahibus samahah Profesor Dato’ Dr Asmadi bin Mohamed Naim pernah mengikut gerakan al-Arqam. Dan perkara itu diakui oleh beliau namun setelah fahamannya difatwakan menyeleweng maka beliau sudah tidak lagi mengikut dan mengamalkannya. Bahkan naratif dan berita ini dibawa seakan-akan untuk membunuh karakter dan peranan beliau sebagai seorang Mufti.

Dakwaan yang mengatakan setelah beliau menjawat Mufti Negeri Pahang, ajaran Abuya Asaari akan dibolehkan semula setelah diharamkan dan tidak lagi menjadi sesat itu adalah meleset sama sekali. Hal Ini kerana beliau telah berfatwa sepertimana fatwa yag diwartakan mengenai kumpulan ini pada tahun 1994. Bahkan Negeri Pahang Darul Makmur mengamalkan aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah dan fiqah bermazhab Syafie.

Merujuk pada tarikh 2 Oktober 2024 Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang telah bermesyuarat yang diketuai oleh Dr Asmadi telah memutuskan bahawa pengikut-pengikut GISBH adalah menyeleweng dan sesat apabila masih mengamalkan amalan Aurad Muhammadiah yang dibawa al-Arqam dan menyakini Abuya Asaari tidak mati dan ghaib buat seketika.

Seterusnya, sistem ekonomi yang dibangunkan mereka pula tidak diiktiraf oleh syarak dan tidak menepati syarak. Fatwa in telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al Sultan Abdullah Riayatuddin al Mustafa Billah Shah untuk sebaran umum masyarakat negeri Pahang pada tarikh 5 Oktober 2024.

Berdasarkan fatwa di atas maka terpadamlah segala api dakwaan buruk keatas Mufti Negeri Pahang. Allah berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 12 : “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.” Dan Nabi saw bersabda: “Jauhilah daripada berprasangka buruk, kerana prasangka buruk merupakan dusta yang besar.” (HR Bukhari). Moga Allah pelihara dan beri taufiq kita semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *