fbpx

USTAZ WADI ANNUAR

ISTILAH PENTING FIQH SYAFIE

Bila sebut perkataan Qaul khususnya digunakan pada pendapat Syafie sendiri.

Manakala Wajh/Wujuh merujuk kepada Fuqahak Mazhab al-Syafie*.

1.al-Azhar: Pandangan yang lebih kuat daripada dua pandangan atau lebih dari Imam al-Syafie. Iaitu apabila berlaku perselisihan antara pandangan tersebut yang sama berdiri atas dalil yang kuat. Bagi mentarjih antara dua pandangan seumpama ini disebut al-Azhar. (lebih mudah disebut: Pendapat Imam Syafie yang lebih kuat dinisbahkan pada pendapatnya yang lain yang juga kuat. Lawannya disebut Zahir.

  1. al-Masyhur: Tarjihan dari dua pandangan Imam Syafie yang kuat dinisbahkan pada pandangannya yang lain yang lemah. Lawannya Gharib.
  2. al-Asah: Pendapat fuqahak al-Syafie yang dikeluarkan mengikut qaedah Imam Syafie dinisbahkan kepada pendapat mereka yang lain yang juga kuat. Lawannya Sahih
  3. al-Sahih : Iaitu pandangan yang yang benar dari pelbagai pandangan ulamak mazhab. Lawannya ialah dhaif

(al-Asoh dan al-Sahih adalah merujuk kepada dua wajah atau beberapa wajah dari kalangan ulamak mazhab.)Penerangan mengenai ashab al-Wujuh lihat di bawah.

  1. al-Nas : Pendapat Imam al-Syafie. (selalu dsebut dalam kitab al-Syafie, dinamakan al-nas kerana ianya dinisbahkan kepada Imam al-Syafie, iaitu dari kalamnya.
  2. al-Mazhab: ialah dua jalan atau beberapa jalan iaitu perbezaan pebdapat tokoh-tokoh mazhab dalam menceritakan pendapat mazhab. Dinamakan al-Mazhab kerana ianya menjadi fatwa dalam mazhab. (lebih mudah dikatakan: Pandangan yang rajih ketika wujud ikhtilaf ulamak-ulamak ashab al-wujuh.)
  3. al-Takhrij : Iaitu Imam Syafie menjawab dengan 2 hukum yang berbeza dalam dua bentuk soalan yang hampir serupa. Tidak jelas perbezaan antara keduanya. (tetapi setengah kitab menyatakan pandangan seumpama ini tidak dinisbahkan kepada Imam al-Syafie (lihat Mughni al-Muhtaj J 1)
  4. Qaul Jadid : fatwa Imam Syafie semasa di Mesir
  5. Qaul Qadim : fatwa Imam Syafie semasa di Baghdad.
  6. Istilah pandangan Dhoif.

a. Qiila Kaza b. Fi qauli kaza c. ruwiya.

Istilah-istilah lain:

  1. Syaikhan : Imam alNawawi dan Imam alRafie.
  2. al-Qadhi : Qadhi Husain.
  3. al-Qadhiyan : al-Mawardi dan al-Ruyani.
  4. al-Imam : Imam al-Haramain
  5. al-Syuyukh : al-Nawawi,al-Rafie,al-Subki.
  6. Dalam al-Iqnak dan Mughni Muhtaj ada menyebut `syeikhi~ merujuk pada al-Ramli.
  7. Syeikhul al-Islam : Imam Zakariya al-Ansori.
  8. Hujjah al-Islam : Imam al-Ghazali.

Ashab al-Wujuh dalam peranannya mentarjihkan fatwa-fatwa mazhab.

Menurut Muhammad Abu Zahrah, kita masih lagi dapat melihat (baca) wujudnya mujtahid mutlak didalam mazhab hinggalah sesudah perasaan taqlid kepada imam-imam mazhab menguasai para ulamak di abad keempat hijrah dan kewujudan ini berlanjutan hingga ke abad 7 hijrah. Selepas zaman tersebut kemungkinan mereka ini wujud tetapi mereka tidak disebut oleh ahli sejarah. Merekalah orang-orang yang mengemaskinikan pertumbuhan dan perkembangan mazhab itu, menginstinbatkan hukum-hukum furuk berdasarkan usul, mengamati ragam pelbagai pandangan,dan memilih mana-mana yang rajih di antaranya menurut pandangan mereka. (Muhammad Abu Zahrah,al-Syafie 1948).

Siapakah Ashab al-Wujuh? Golongan ini dinamakan mujtahid al-Mazhab atau mujtahid kepada mazhab Syafie. (Lihat Muhamad Hassan Hitu, al-Ijtihad wa tabaqat mujtahid al-Syafie. Sebahagian dari Ashab al-Wujuh ini pernah bersama Imam Syafie seperti al-Buwaiti,Yunus,al-Rabi` dan lainya. Manakala sebahagianya tidak pernah bersama Imam Syafie tetapi pernah bersama dengan sahabat-sahabat Imam Syafie seperti al-Anmati, Ibnu Khairan, Ibnu Abi Hurairah ,al-Sairafi. Ada antara mereka yang banyak memberi pandangan mereka seperti Ibnu Surayj,Abu Ishaq al-Mirwazi, Ibnu al-Haddad, al-Shasi. Terdapat juga yang kurang memberi pandangan seperti al-Salusi (Abu Bakar), Abu Abd Rahman al-Qazzaz lain lain tokoh seperti Abu al-Taib bin Salamah al-Baghdadi, Abu Said al-Istakhari. Pandangan-pandangan ashab al-Wujuh ini ada dikumpulkan oleh al-Rafie dan al-Nawawi dalam al-Sharh al-Kabir dan Rawdhah al-Tolibin.

Secara umumnya ashab al-wujuh ialah mereka yang berkemampuan untuk melakukan qias dalam perkara-perkara yang tidak dibincangkan oleh Imam al-Syafie, dengan merujuk kepada apa yang telah dinyatakan oleh Imam al-Syafie(nas) atau memasukan kes-kes baru dibawah qaedah-qaedah umum Imam al-Syafie. Mereka selaunya akan memberi fatwa dalam kes-kes baru berdasarkan penelitian ke atas usul dan kaedah imam al-Syafie dalam fatwa-fatwa mereka ini kemungkinan akan wujud perbezaan pandangan dengan pandangan Imam dalam beberapa wujuh walaupun pendapat yang berbeza itu terlalu sedikit.

Ulama juga telah mebincangkan adakah takhrij atau fatwa mereka pada kes yang baru berdasarkan penelitian kepada teks fatwa Imam Syafei boleh dinisbahkan kepada Imam al-Syafei ataupun ianya hanya dinisbahkan pada ulamak tahkrij sahaja. Imam al-Haramain menyatakan bahawa tahkrij mereka boleh dinisbahkan kepada Imam al-Syafie.

Imam al-Syirazi menyatakan beliau tidak bersetuju dengan pandangan yang menisbahkan pada imam ,di mana beliau menyatakan fatwa(wujuh) tidak boleh dinisbahkan pada Imam al-Syafie.(lihat al-Syirazi,Tabsirah fi Usul al-Fiqh,taaliqah oleh hassan Hitu Dar al-Fikr Damsyiq.ms 517).

Pandangan tersebut disokong oleh Ibnu Solah dan Imam al-Nawawi.Walabagaimanapun ianya(fatwa tersebut) diterima sebagai sebahagian dari mazhab al-Syafie(bukan pandangan Imam al-Syafie) selama mana ianya diambil dan dipetik berdasarkan nas dan usul Imam al-Syafie.

Permasalah yang timbul ialah dalam keadaan di mana Imam Syafie sendiri mempunyai dua fatwa yang berbeza, bagaimana keadaannya? Imam al-Nawawi menjawab persoalan dengan katanya: keadaan sedemikian terlalu sedikit berlaku, kedua fatwa Imam yang berlawanan itu sebenarnya boeh dipisahkan dengan meneliti dan melakukan pengamatan kepada faktor tertentu yang menyebabkan perbezaan itu. Para al-ashab tidak menghadapi masalah dalam hal ini.

Lebih lanjut lihat tulisan Dr Md Daud Bakar Teori Dan Amalan Tarjih Dalam Mazhab Syafie

Perhatian : ‘Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan di ruangan akaun ini. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis sebarang komen yang berbentuk provokasi / penghinaan. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang tulis. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Pastikan komen yang baik-baik sahaja.’ – admin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

Scroll to Top