Islam tidak pernah menghalalkan makian, carutan dan kata-kata kesat atas apa jua alasan. Sama ada ketika mempertahankan agama, maruah diri, keluarga, bangsa, negara atau ketika berdepan dengan pihak yang dibenci, seorang Muslim tetap dituntut menjaga adab dan disiplin lisan sebagaimana yang diajar oleh al-Quran dan sunnah.
Allah SWT melarang umat Islam menghina dan memanggil orang lain dengan gelaran yang buruk melalui firman-Nya:
﴿وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ﴾
“Dan janganlah setengah kamu menyatakan kecelaan setengahnya yang lain, dan janganlah kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk "
Surah al-Hujurat: 11
Rasulullah ﷺ juga bersabda:
﴿«لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا الْفَاحِشِ وَلَا الْبَذِيءِ» ﴾
“Bukanlah seorang Mukmin itu seorang yang suka mencela, suka melaknat, suka bercakap kotor dan suka mencarut. "
Riwayat al-Tirmizi
Para ulama turut menjelaskan bahawa kebencian terhadap seseorang tidak menghalalkan penghinaan dan kata-kata keji. Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhayli menyatakan bahawa perbuatan menghina, memaki hamun atau menggelar seseorang dengan panggilan yang buruk termasuk perbuatan yang dilarang syarak, malah pelakunya boleh dikenakan hukuman ta'zir oleh pihak berkuasa menurut pertimbangan yang sesuai. Rasa benci terhadap sesuatu pihak tidak boleh menjadi alasan untuk berlaku zalim atau melampaui batas adab.
Dalam konteks semasa, perbuatan mencarut boleh difahami melalui penggunaan kata-kata kesat yang lazim digunakan untuk menghina orang lain, seperti menyebut seseorang dengan gelaran "bodoh", "bangang", "sial" atau ungkapan carutan yang lucah dan mencemarkan maruah.
Begitu juga perbuatan memanggil orang dengan nama binatang sebagai penghinaan seperti "anjing", "babi", "keldai" atau seumpamanya. Walaupun sebahagian masyarakat menganggapnya perkara biasa ketika marah atau berdebat, perbuatan tersebut tetap termasuk dalam kategori ucapan yang buruk dan bercanggah dengan adab yang dituntut oleh Islam.
Oleh itu, ketegasan tidak semestinya diterjemahkan melalui kata-kata kasar. Seorang Muslim boleh berbeza pendapat, menegur kesalahan, mempertahankan hak dan menolak kezaliman tanpa perlu mencela atau menghina orang lain. Kekuatan sebenar terletak pada hujah yang benar, akhlak yang mulia dan kemampuan mengawal lisan ketika marah.
Kesimpulan
Mencarut bukanlah lambang keberanian atau ketegasan. Sebaliknya, ia merupakan perbuatan yang ditegah oleh syariat dan bercanggah dengan akhlak seorang Mukmin. Islam mengajar kita supaya tegas pada prinsip, tetapi tetap beradab dalam tutur kata dan tingkah laku.