Haram Mendedahkan Dosa Sendiri

HARAM MENDEDAHKAN DOSA SENDIRI

Mutakhir ini, terdapat keadaan di mana sebahagian individu berkongsi kisah dosa dan maksiat secara terbuka di media sosial. Perkara ini wajar diberi perhatian agar kita tidak terlepas pandang prinsip penting dalam Islam berkaitan menjaga maruah, rasa malu dan satr (penutupan aib).

Para hukama telah lama mengingatkan:

إِذَا ابْتُلِيتُم بِالمَعَاصِي فَاسْتَتِرُواِ

"Apabila kamu diuji dengan maksiat, maka hendaklah kamu menutupnya (tidak menceritakan kepada umum)."

Pesanan ini bukan mengajar sifat munafik dan hipokrit, tetapi tanda menghormati Allah SWT yang Maha Menutup Aib (al-Sattar). Apabila Allah menutup keburukan kita, maka tidak wajar untuk kita sendiri membukanya.

Rasulullah ﷺ bersabda:

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ

"Setiap umatku akan diampunkan dosanya kecuali al-Mujahirun (orang yang mendedahkan maksiatnya)." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Para ulama seperti Imam Ibn Hajar al-Asqalani dan Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa perbuatan ini menunjukkan sikap meremehkan dosa serta menghilangkan peluang taubat yang lebih luas. Bahkan, ia boleh menjadi sebab tersebarnya pengaruh buruk dalam masyarakat. Apabila maksiat didedahkan secara terbuka, ia akan membawa kepada normalisasi dosa. Lama-kelamaan, sensitiviti iman terhadap kemungkaran akan semakin pudar.

Kesimpulan

Kesimpulannya, jika seseorang tergelincir dalam dosa, hendaklah dia segera kembali kepada Allah dengan:

  1. Menutup aib sendiri.
  2. Bertaubat dengan ikhlas.
  3. Memperbaiki diri dengan amal soleh.

Sesungguhnya, menjaga aib adalah tanda hidupnya iman dalam hati seorang mukmin. Semoga Allah SWT menutup segala aib kita di dunia dan akhirat serta menetapkan kita dalam istiqamah.

#ustazwadiannuar