Aidilfitri adalah hari kemenangan selepas Ramadan. Namun, timbul persoalan tentang amalan ziarah kubur pada pagi raya yang boleh menimbulkan rasa sedih. Adakah ia bercanggah dengan tuntutan untuk bergembira? Islam tidak menolak fitrah manusia. Rasa gembira dan sedih boleh wujud bersama, selagi tidak melampaui batas syarak.
Dari sudut syariat, Aidilfitri ialah hari untuk bergembira. Rasulullah SAW membenarkan umatnya bersukacita, memakai pakaian indah dan menikmati makanan. Dalam hadis riwayat al-Bukhari, Baginda menyebut bahawa Aidilfitri adalah hari raya bagi umat Islam. Ini menunjukkan kegembiraan adalah sebahagian daripada syiar agama selepas Ramadan.
Menghadiahkan doa di pusara ialah tanda bakti dan kasih sayang kepada ibu bapa yang telah tiada. Melihat kepada realiti masyarakat di Malaysia, ziarah kubur pada pagi raya sudah menjadi amalan biasa kerana faktor masa dan keadaan.
Kebanyakan rakyat Malaysia bekerja jauh dan jarang pulang ke kampung kecuali ketika hari raya. Sebab itu, pagi raya menjadi waktu yang sesuai untuk menziarahi pusara ibu bapa dan mengenang kembali kenangan semasa arwah masih hidup.
Rasa rindu mendorong mereka ke kubur sebagai tanda kasih dan penghormatan. Penting untuk ditegaskan bahawa amalan ini bukanlah satu kewajipan khusus dalam agama pada pagi raya, dan rata-rata orang awam juga tidak menganggapnya sebagai satu kefarduan. Oleh itu, tidak wajar untuk mana-mana pihak menuduh amalan ini sebagai satu perkara yang diwajibkan dalam agama secara melulu.
Kesedihan yang hadir di pusara itu biasanya hanyalah sekejap sahaja sebagai ruang untuk melepaskan rindu. Sebaik sahaja pulang ke rumah, mereka akan kembali gembira seperti biasa untuk menyambut tetamu dan meraikan kemenangan bersama keluarga yang masih ada.
Kesimpulan
Kesimpulannya, kesedihan kerana rindu tidak membatalkan kegembiraan hari raya. Syiar kegembiraan adalah kerana kejayaan melakukan ibadah, manakala ziarah kubur adalah tanda bakti yang berterusan. Pastikan rasa hiba itu tidak terbawa-bawa sehingga menjejaskan suasana raya. Jadikanlah kunjungan ke pusara itu sebagai medium untuk mendoakan kesejahteraan mereka di alam barzakh, sekali gus menginsafi hakikat bahawa setiap pertemuan di dunia ini pasti akan berakhir dengan perpisahan yang sementara.
#ustazwadiannuar
SILA SEBARKAN SUPAYA RAMAI DAPAT MANFAAT