Hukum Puasa Ibu Mengandung & Menyusu

Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan. Namun, timbul satu salah faham dalam masyarakat bahawa ibu mengandung atau menyusu secara automatik dibolehkan untuk tidak berpuasa. Hakikatnya, menurut syariat Islam, hukum asal bagi ibu mengandung dan menyusu adalah wajib berpuasa seperti individu sihat yang lain. Mereka hanya dibenarkan berbuka sekiranya terdapat kebimbangan mudarat yang nyata terhadap diri atau anak.

Allah SWT memberikan rukhsah (keringanan) kepada ibu mengandung dan menyusu berdasarkan sabda Rasulullah SAW daripada Anas bin Malik RA:

 

إنَّ اللَّهَ عزَّ وجلَّ وضعَ عنِ المسافرِ شطرَ الصَّلاةِ، وعنِ المسافرِ والحاملِ والمرضعِ الصَّومَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah meringankan daripada orang yang musafir dengan separuh daripada solat dan meringankan daripada puasa bagi perempuan hamil dan menyusukan anaknya.” (Riwayat al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah)

 

Perlu ditegaskan, keringanan ini bukanlah bermaksud seseorang ibu boleh memilih untuk tidak berniat puasa semenjak dari malam lagi tanpa sebarang sebab. Hukum asal bagi ibu mengandung dan menyusu ialah wajib berpuasa selagi tiada kebimbangan berlakunya mudarat.

Kebenaran untuk berbuka hanya berlaku apabila:
1. Bimbang keselamatan diri ibu: Jika ibu berasa sangat lemah atau bimbang kesihatan terjejas. Kewajipannya adalah qada sahaja.
2. Bimbang keselamatan diri & anak: Jika ibu risau kedua-duanya terjejas. Kewajipannya adalah qada sahaja.
3. Bimbang keselamatan anak sahaja: Contohnya, ibu sihat tetapi risau kandungan terjejas atau bekalan susu badan terganggu. Kewajipannya adalah qada dan membayar fidyah*.

 

Seorang Muslim tidak sepatutnya merancang untuk meninggalkan kewajipan tanpa sebab yang diiktiraf syarak atau tanpa merujuk kepada pakar perubatan yang dipercayai. Berbuka tanpa sebab yang jelas bukan sahaja menyalahi hukum, malah menghilangkan peluang untuk meraih keberkatan Ramadan.

Walau bagaimanapun, Islam juga menekankan prinsip menjaga nyawa (Hifz al-Nafs). Di sinilah para ibu perlu bijak dan jujur menilai keadaan diri. Jika puasa tersebut mendatangkan kepayahan yang luar biasa, atau doktor yang dipercayai mengesahkan terdapat risiko mudarat, maka pada ketika itu hukumnya boleh beralih daripada wajib berpuasa kepada harus berbuka, malah boleh menjadi wajib berbuka jika bimbang berlaku mudarat yang serius. Janganlah memaksa diri sehingga memudaratkan nyawa. Dapatkanlah nasihat pakar perubatan sebagai panduan.

Para ibu juga tidak perlu merasa rendah diri sekiranya terpaksa berbuka puasa setelah ada usaha berpuasa kerana menjaga nyawa dan amanah Allah adalah satu pahala yang besar. Dalam hal ini, para bapa perlu memainkan peranan dengan membantu urusan rumah tangga bagi meringankan beban fizikal isteri agar mereka mempunyai kekuatan untuk beribadah.

Ramadan menuntut usaha terbaik daripada kita. Namun sekiranya para ibu telah berusaha dan terpaksa berbuka demi keselamatan nyawa, maka berbukalah dengan tenang. Itu bukan tanda lemah dalam ibadah, tetapi tanda taat kepada syariat Allah. Memelihara nyawa adalah amanah yang wajib didahulukan, dan menggunakan keringanan syarak pada tempatnya adalah bukti kita beragama dengan ilmu, bukannya mengikut nafsu semata-mata.

*Fidyah ialah bayaran gantian dengan cara memberi makan kepada orang miskin. Kadarnya ialah satu hari puasa bersamaan satu mud makanan. Satu mud dianggarkan kira-kira 600 gram beras.